LATEST

Speedy Tigers gagal sekat Australia

sukan@hmetro.com.my

Baca juga: Hakim Danish terpaksa mula dari petak ke-15 di Valencia

Ipoh: Skuad hoki negara, Speedy Tigers terpaksa berpuas hati menamatkan kempen Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) ke-32 di tempat kedua selepas tewas 1-3 kepada Australia pada aksi final di Stadium Hoki Azlan Shah, di sini, malam ini.

Kekalahan itu menyaksikan Australia kendalian Mark Hager mengesahkan kejuaraan kejohanan berkenaan, sekali gus membuktikan keunggulan mereka selaku pasukan ketiga terbaik dunia berbanding Malaysia yang menghuni ranking ke-13 dunia.

Bagaimanapun, skuad negara kendalian Brendon Carolan terlebih dahulu mencetuskan kegembiraan penyokong tempatan apabila membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan menerusi pemain senior, Faizal Saari hasil pukulan sudut penalti.

Australia bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-19 menerusi Jackson Duncan yang turut berpunca daripada pukulan sudut penalti.

Pasukan ranking ketiga dunia itu kemudian memperoleh jaringan kedua pada minit ke-27 juga menerusi Duncan untuk mendahului 2-1, sekali gus membawa kelebihan berkenaan sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki suku ketiga, kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan bagi mencari tambahan jaringan, namun beberapa peluang terhidang termasuk menerusi pukulan sudut penalti gagal dimanfaatkan.

Australia akhirnya melebarkan jurang kepada 3-1 pada minit ke-40 menerusi Marais Craig sekali gus meletakkan Speedy Tigers dalam keadaan semakin tertekan.

Memasuki suku terakhir, Australia nyaris menambah jaringan keempat pada minit ke-48, namun gol berkenaan dibatalkan pengadil selepas didapati bola dipukul dari luar kawasan D sebelum menerjah gawang Malaysia.

Kedudukan 3-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus menyaksikan Australia muncul juara manakala Malaysia terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news