Sepang: Seorang lelaki yang tular selepas memanjat rangka cermin bangunan Satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini, dipercayai mengalami masalah kesihatan mental sejak beberapa bulan lalu.
Baca juga: Segala usaha sedang dibuat pulihkan bekalan elektrik Sabah – Hajiji
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, perkara itu dimaklumkan seorang saksi yang juga rakan suspek ketika siasatan dijalankan.
“Suspek adalah warga Nepal berusia 50 tahun dan dipercayai mengalami masalah mental sejak beberapa bulan lalu, namun enggan menerima rawatan.
“Lelaki berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Kajang dan ditempatkan di wad psikiatri untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Ravi berkata, kejadian berlaku jam 4.56 petang pada 28 November lalu ketika lelaki terbabit berada berhampiran pintu G6 kawasan pelepasan antarabangsa.
“Lelaki itu didapati membuat bising dan mengganggu ketenteraman orang awam sebelum memanjat rangka cermin Bangunan Satelit.
“Anggota kawalan keselamatan terminal yang tiba di lokasi berjaya menenangkan lelaki berkenaan sebelum membawanya ke Balai Polis Terminal 1 untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ravi berkata, hasil siasatan mendapati lelaki itu dijadualkan menaiki penerbangan pulang ke Nepal jam 6 petang hari sama.
Katanya, kedutaan Nepal juga sudah dimaklumkan berhubung kejadian itu.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak benar yang boleh menimbulkan kegusaran, khususnya dalam kalangan pengguna KLIA Terminal 1 dan Terminal 2.
Terdahulu media melaporkan, aksi seorang lelaki yang hanya berseluar pendek memanjat struktur besi pada dinding kaca di KLIA, Terminal 1, Sepang tular di media sosial, hari ini.
Video kejadian dikongsikan pengguna Threads, Syamdut, memperlihatkan lelaki itu memanjat struktur besi tinggi, sekali gus mengundang kebimbangan orang ramai.
© New Straits Times Press (M) Bhd