LATEST

Speedy Tigers sekadar naib juara Piala Sultan Azlan Shah

Speedy Tigers sekadar naib juara Piala Sultan Azlan Shah

IPOH: Australia muncul juara Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-32 selepas menundukkan Malaysia 3-1 dalam aksi final di Stadium Azlan Shah, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Kookaburras meraih gelaran ke-11 dalam kejohanan jemputan berkenaan.

Baca juga: Larian amal kumpul RM1.5 juta untuk pendidikan, kebajikan OKU

Dalam perlawanan yang turut disaksikan Sultan Perak,Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Speedy Tigers tampil dengan aksi baik, namun gagal menandingi keunggulan pasukan ranking ketiga dunia itu.

Malaysia memberikan tentangan sengit pada suku pertama dan kedua, namun gagal mengekalkan momentum apabila Australia bangkit menguasai permainan pada separuh masa kedua.

Faizal Saari mengejutkan Australia apabila meletakkan Malaysia di depan pada minit kesembilan.

Namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Jackson Duncan menyamakan kedudukan pada minit ke-19 sebelum meletakkan Australia di depan pada minit ke-27.

Craig Marais kemudian menambah gol ketiga Australia pada minit ke-40 untuk memastikan kemenangan pasukan itu.

Bagaimanapun, pujian wajar diberikan kepada anak buah Brendon Carolan kerana menampilkan persembahan lebih meyakinkan berbanding aksi pusingan awal ketika mereka tewas 2-4 kepada Australia, sekali gus membuktikan Speedy Tigers mampu memberikan tentangan meskipun berdepan lawan lebih kuat.

Australia sememangnya menjadi pilihan untuk menjuarai kejohanan itu berdasarkan prestasi konsisten sepanjang kempen manakala Korea Selatan menamatkan saingan di tempat ketiga selepas menewaskan Pakistan 3-0 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat. – UTUSAN

The post Speedy Tigers sekadar naib juara Piala Sultan Azlan Shah appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news