am@hmetro.com.my
Baca juga: Dua juara zon sedia uji kehebatan di suku akhir
Tampin: Tindakan pantas anggota bomba menyelamatkan dua beranak selepas pikap dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai di Jalan Ulu Rokan, Kampung Orang Asli Langkap Dangai, Gemencheh, di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada 7.45 malam itu, Toyota Hilux yang dinaiki seorang lelaki berusia 57 tahun dan anak perempuan berusia 21 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam sungai.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 7.45 malam dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gemencheh dengan bantuan BBP Kuala Pilah digerakkan ke lokasi yang berjarak 14 kilometer.
“Setiba pasukan di lokasi, didapati sebuah Toyota Hilux terbabas ke dalam sungai dengan dua mangsa.
“Kedua-duanya berjaya diselamatkan anggota bomba menggunakan peralatan tali dan pelampung serta jaket keselamatan sebelum dibawa ke tempat selamat,” katanya
Menurutnya, dua beranak itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi yang diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Khairul Nisam Yusof itu berjaya dikawal pada 8.10 malam dan tamat sepenuhnya pada 8.51 malam.
© New Straits Times Press (M) Bhd