LATEST
National

Anwar pelawa profesional MCOBA beri input perancangan pembangunan negara

Anwar pelawa profesional MCOBA beri input perancangan pembangunan negara

KUALA LUMPUR: Golongan profesional dalam Persatuan Alumni Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCOBA) dipelawa membentuk sebuah pasukan khas bagi memberi maklum balas kepada perancangan pembangunan negara bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Baca juga: Pemain Real Madrid bergaya dengan BMW percuma

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu telah disampaikan kepada Presiden MCOBA, Tunku Datuk Ahmad Burhanuddin Tunku Adnan, bagi membolehkan wakil alumni meneliti pelan perancangan kerajaan serta mengemukakan pandangan, teguran dan kritikan secara langsung.

Perdana Menteri yang juga alumni Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), berharap golongan profesional dalam kalangan bekas pelajar kolej itu dapat menyumbang kepakaran dan pengalaman mereka bagi membantu kerajaan meningkatkan pembangunan serta mengangkat martabat negara.

“Saya mohon maaf kepada saudara-saudara kerana menyampaikan ini… kerana saya rasa kalaulah bukan alumni Malay College (MCKK), manalah lagi saya nak letakkan harapan nak rayu.

“Saya minta Presiden MCOBA mengumpul tenaga dan saya akan berikan ruang yang secukupnya di Jabatan Perdana Menteri supaya saudara dengar sendiri dan berikan sanggahan, kritikan atau cadangan balas untuk mengangkat martabat negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan MCOBA, di sini, malam tadi.

Anwar berkata, MCOBA adalah kumpulan kedua dipelawa menyertai inisiatif itu selepas alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang juga kumpulan alumni terbesar di negara ini.

Mengulas usaha reformasi kerajaan, beliau berkata, pelaksanaannya bukan sesuatu yang mudah kerana kerajaan berdepan pelbagai cabaran, termasuk kelemahan tadbir urus, rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.

Katanya, isu berkenaan perlu ditangani secara jujur dan menyeluruh bagi memastikan sumber negara dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat, termasuk dalam pembangunan sektor pendidikan, kesihatan serta penyediaan kemudahan asas.

Dalam pada itu, Anwar berkata, polemik berkaitan perbezaan kaum dan kelompok, perlu diketepikan bagi memelihara nilai kemanusiaan, keadilan serta tadbir urus yang baik.

“Jadi saudara-saudara, sebab itu bagi kita isunya bukan permusuhan warna kulit, perbezaan warna kulit atau kaum atau kepercayaan.

“Isunya ialah nilai kemanusiaan. Isunya adalah tatakelola pentadbiran yang baik, bagaimana kita menggunakan kuasa dan kebijaksanaan untuk mengatur negara, menegakkan keadilan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news