LATEST

SUV elektrik alami masalah teknikal punca kemalangan enam kenderaan

SUV elektrik alami masalah teknikal punca kemalangan enam kenderaan

am@hmetro.com.my

Baca juga: ‘Spider-man’ di KLIA dipercayai alami masalah mental – Polis

Alor Setar: Tindakan pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik yang menekan pedal minyak berulang kali akibat masalah teknikal dipercayai menyebabkan kemalangan membabitkan enam kenderaan di persimpangan lampu isyarat Simpang Kuala, Lebuhraya Sultan Abdul Halim, di sini, hari ini.

Antara kenderaan yang terbabit adalah Proton S70; Toyota Corolla Cross; dua Perodua Bezza dan Toyota Yaris.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, polis menerima laporan daripada seorang lelaki memaklumkan terbabit kemalangan dengan enam kenderaan pada 5.11 petang.

Katanya, satu video berdurasi kira-kira 14 saat yang memaparkan kejadian turut tular dan dikesan di Facebook pada 7 malam.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada 4.30 petang ketika kenderaan BYD Selion 7 dipandu lelaki berusia 37 tahun bergerak lurus di lorong tengah dari arah pusat bandar Alor Setar menuju ke Simpang Kuala.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, tiba-tiba kenderaannya tidak bergerak akibat masalah teknikal, menyebabkan pemandu terbabit menekan pedal minyak beberapa kali sebelum ia hilang kawalan dan terbabas serta melanggar bahagian belakang kenderaan yang sedang berhenti di lorong kiri.

“Pelanggaran itu menyebabkan berlaku rantaian kemalangan dengan kenderaan lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Syed Basri berkata, pemandu BYD Selion 7 itu ditahan namun dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil.

Menurutnya, ujian saringan air kencing pemandu itu juga mendapati dia negatif dadah.

“Semua pemandu kenderaan lain berusia antara 26 hingga 63 tahun, tidak cedera. Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news