KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) memperuntukkan RM150 juta dalam tempoh lima tahun bagi meningkatkan taraf sosioekonomi lebih 150,000 rakyat Malaysia menjelang 2030, khususnya golongan rentan dan berpendapatan rendah.
Baca juga: Hakim Danish terpaksa mula dari petak ke-15 di Valencia
Peruntukan itu, yang menjadi sebahagian daripada komitmen serantau CIMB bernilai RM200 juta, merangkumi inisiatif pendidikan, literasi kewangan, biasiswa, pembangunan kemahiran, keusahawanan, pemerkasaan komuniti dan bantuan bencana.
CIMB dalam kenyataan hari ini berkata, komitmen berkenaan selaras dengan Program Pengaktifan dan Reformasi Perusahaan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP), khususnya dalam meningkatkan taraf hidup serta memperluas peluang ekonomi kepada masyarakat.
Antara inisiatif utama ialah peluasan program pemerkasaan komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) menerusi PPR 2.0 yang menyasarkan manfaat kepada 45,000 individu melalui pendidikan, bantuan keperluan asas dan pemerkasaan ekonomi.
Program berkenaan turut memperkenalkan tumpuan baharu terhadap pembangunan keluarga, merangkumi pendidikan, bantuan ekonomi, keperluan asas serta pemerkasaan institusi keluarga yang dijangka memanfaatkan 5,000 keluarga.
Selain itu, sebanyak RM25 juta daripada keseluruhan peruntukan berkenaan akan disalurkan menerusi Zakat Wakalah bagi menyokong pembangunan komuniti mampan, penjagaan kesihatan dan pendidikan belia.
Peruntukan zakat itu turut menyokong Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi program iTEKAD bagi meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi, selain pembangunan keusahawanan.
CIMB juga menyasarkan pemerkasaan ekonomi kepada 5,000 individu, termasuk 4,000 daripada golongan yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan dan peluang ekonomi seperti ibu tunggal, belia berisiko serta orang kurang upaya (OKU).
Inisiatif berkenaan turut membabitkan latihan kepada 1,000 penjaga baharu bagi menyokong pembangunan ekonomi penjagaan, sekali gus mewujudkan peluang pendapatan serta membantu memenuhi keperluan populasi warga emas negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata pembabitan sektor korporat menerusi GEAR-uP penting dalam menggembleng sumber bagi menangani keperluan sosioekonomi masyarakat.
“Komitmen CIMB membuktikan bagaimana penyertaan sektor korporat dapat melengkapi usaha nasional secara bermakna untuk meningkatkan taraf hidup, memperluas peluang dan membina komuniti yang lebih kukuh serta berdaya tahan,” katanya sempena majlis pengumuman inisiatif berkenaan di PPR Pinggiran Bukit Jalil.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin, berkata komitmen berkenaan mencerminkan tumpuan jangka panjang kumpulan untuk memperluas akses pendidikan, memperkukuh penjanaan pendapatan dan meningkatkan daya tahan masyarakat.
“Bersama-sama rakan program, kami memperkasa komuniti untuk menceburi ekonomi secara bermakna, meningkatkan kualiti hidup mereka dan mencipta kemajuan berterusan untuk diri mereka dan generasi masa hadapan,” katanya.
Sepanjang 2025 dan 2026, CIMB sudah menyalurkan hampir RM5 juta menerusi 17 program di empat komuniti PPR, melebihi komitmen asal sebanyak 38.6 peratus.
Program berkenaan memanfaatkan lebih 10,000 individu, termasuk pelajar, warga emas, golongan asnaf dan B40 serta wanita berpendapatan rendah, selain menyediakan sokongan kepada 3,200 keluarga.
© New Straits Times Press (M) Bhd