sukan@hmetro.com.my
Baca juga: Sentul, Setapak, Kampung Baru antara dilanda banjir
Kuala Lumpur: Tidak pernah menyepak bola takraw, namun kecintaannya terhadap sukan itu cukup kuat untuk membuatkan Nadyatul Syazwani Marhazam sanggup menggalas tanggungjawab sebagai pengurus pasukan selama hampir enam tahun.
Biarpun menjadi satu-satunya wanita dalam barisan pengurusan pasukan Warisan B, Nadyatul tidak pernah menjadikan pandangan skeptikal masyarakat terhadap penglibatan wanita dalam sukan yang sinonim dengan lelaki sebagai alasan untuk berundur.
Sebaliknya, minat mendalam terhadap sepak takraw membuatkan dia memilih untuk terus memberikan komitmen dalam memastikan kebajikan dan pengurusan pemain berjalan lancar.
“Orang mungkin ada pandangan negatif, tetapi saya buat tidak tahu saja. Saya suka tengok budak-budak ini bermain, jadi saya teruskan saja.
“Bagi saya, semuanya bergantung kepada minat. Kalau minat itu ada, perkara negatif kita letak tepi. Lama-kelamaan orang pun akan biasa melihat kita,” katanya.
Baginya, penglibatan dalam dunia sepak takraw bermula sejak zaman persekolahan apabila dia menuntut di sekolah yang mempunyai projek sukan berkenaan, sekali gus memberi peluang kepadanya untuk mengenali sukan itu dengan lebih dekat.
Walaupun tidak pernah bergelar pemain, pengalaman menyaksikan aksi sepak takraw ketika di sekolah menjadi titik permulaan kepada minatnya sebelum peluang menguruskan pasukan hadir kira-kira enam tahun lalu.
Mengakui tugas menguruskan pasukan bukan sesuatu yang mudah, Nadyatul berkata dia perlu bersikap tegas dalam mengendalikan pemain, khususnya membabitkan disiplin dan penyusunan tugasan.
“Kalau nak kawal budak-budak ini, kita kena serius dan tegas. Tak boleh terlalu lembut atau biarkan mereka buat sesuka hati. Apa yang perlu dibuat, kita kena cakap terus dan susun semuanya dengan baik.
“Tetapi dalam masa sama, kita kena ada kelembutan juga. Mereka ini masih muda, jadi kadang-kadang kita perlu menjadi kawan supaya mereka lebih selesa,” katanya.
Malah, Nadyatul lebih selesa menganggap dirinya sebagai kakak kepada pemain berbanding ibu kerana pendekatan itu membolehkan hubungan lebih rapat dibina bersama mereka.
Katanya, pengalaman sepanjang hampir enam tahun menguruskan pasukan turut mengajarnya erti pengorbanan, terutama apabila perlu menghabiskan masa yang panjang sepanjang kejohanan berlangsung.
Namun, segala kepenatan itu seakan-akan terbayar apabila melihat pemain meraikan kejayaan bersama-sama selepas memenangi kejuaraan.
© New Straits Times Press (M) Bhd