LATEST

Ali XPDC selamat jalani prosedur angiogram di IJN

Ali XPDC selamat jalani prosedur angiogram di IJN

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Baca juga: Dua himpunan di ibu negara berlangsung aman

Kuala Lumpur: Penyanyi Ali XPDC selamat menjalani prosedur angiogram di Institut Jantung Negara (IJN), hari ini.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh anaknya, Wan Aliuddin Aqiel atau Aqiel menerusi status WhatsAppnya.

“Alhamdulillah, ayah telah selesai menjalani prosedur angio. Insya-Allah, ayah akan menjalani prosedur PCI (pemasangan stent) pada hari Isnin ini.

“Buat masa ini, kami sekeluarga ingin memohon jasa baik semua untuk menghentikan sementara lawatan atau ziarah supaya ayah dapat berehat secukupnya dan bersedia untuk prosedur seterusnya.

“Kami mohon semua terus mendoakan agar urusan rawatan ayah dipermudahkan, diberikan kekuatan dan kesembuhan seperti sediakala,” tulisnya.

Aqiel turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas segala doa, sokongan dan keprihatinan terhadap bapanya.

“Semoga Allah membalas segala kebaikan kalian,” tulisnya lagi.

Terdahulu, Ali atau nama sebenar Mohd Ali Ismail, 58, dibenarkan keluar dari CCU (Unit Penjagaan Koronari), tetapi kembali dimasukkan semula ke unit terbabit pada Khamis lalu kerana berasa sesak di bahagian dada.

Penyanyi lagu Teman ini dikejarkan ke IJN pada 18 November lalu selepas keadaan kesihatannya merosot dan tidak berdaya.

Dia sepatutnya menjalani prosedur angiogram yang dijadualkan pada 20 November lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan kepada tarikh lain berikutan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Aqiel dipetik berkata, keadaan jantung bapanya masih lemah dan belum cukup stabil untuk menjalani prosedur terbabit.

Menurutnya, pihak doktor memantau keadaan bapanya dan prosedur mungkin akan dilakukan bergantung kepada keadaan kesihatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news