KOTA KINABALU: Sebuah keluarga melakar pencapaian tersendiri apabila empat beradik berjaya menamatkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini.
Baca juga: Segala usaha sedang dibuat pulihkan bekalan elektrik Sabah – Hajiji
Terbaru, Izzati Aini Muhammad Iskandar yang juga anak keempat daripada lima beradik, diraikan pada Istiadat Konvokesyen UMS Ke-28, semalam, sekali gus mengikut jejak langkah ibu bapa, dua abang dan kakaknya yang merupakan doktor perubatan.
Izzati Aini berkata, membesar dalam keluarga yang mempunyai ibu bapa pengamal perubatan telah memupuk minatnya terhadap profesion itu sejak usia muda.
“Melihat cara ibu bapa saya bekerja serta mendengar cerita dan pengalaman mereka membuatkan saya berasa bidang perubatan adalah sesuatu yang menarik, sekali gus mendorong saya untuk menjadi seperti mereka.
“Antara perkara yang banyak membantu sepanjang pengajian ialah peluang untuk berbincang dengan keluarga, mendapatkan pandangan mereka berdasarkan pengalaman, serta mempelajari cara mereka menangani pelbagai masalah dan situasi,” katanya dalam kenyataan sempena Istiadat Konvokesyen UMS Ke-28, di sini.
Ibu bapanya, Dr Muhammad Iskandar dan Dr Selina Mohd Noor, adalah doktor perubatan.
Abang sulungnya, Dr Fathir Fath, dan kakaknya, Dr Nurul Ain, masing-masing bertugas sebagai pegawai perubatan yang khusus dalam bidang pediatrik di Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS).
Seorang lagi abangnya, Dr Faizal Fath pula bertugas sebagai pegawai perubatan siswazah di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Adik bongsu Izzati Aini, Nurul Asyiqin, kini berada di tahun kelima pengajian perubatan di UMS dan dijangka menamatkan pengajian pada tahun depan.
Meskipun mempunyai keluarga doktor sebagai tempat rujukan dan bimbingan, Izzati Aini mengaku mengikut jejak langkah mereka turut memberi tekanan yang tersendiri.
Beliau berkata, ada kalanya beliau mempersoalkan kemampuan diri untuk menjadi doktor seperti ibu bapa dan adik-beradiknya, khususnya apabila membandingkan pencapaian akademiknya dengan rakan sebaya.
Bagaimanapun, dorongan dan sokongan keluarga membantunya mengatasi keraguan itu serta terus berusaha sehingga berjaya menamatkan pengajian.
Melangkah ke hadapan, Izzati Aini berharap dapat mengembangkan kerjayanya dalam bidang ortopedik.
© New Straits Times Press (M) Bhd