LATEST
National

Kerjasama strategik mampu tingkat daya saing perusahaan

Kerjasama strategik mampu tingkat daya saing perusahaan

KUALA LUMPUR: Syarikat yang sudah bertapak kukuh digalakkan memperluas kerjasama strategik dengan perusahaan Bumiputera bagi membantu golongan usahawan berkenaan menembusi pasaran baharu, mengembangkan operasi serta meningkatkan daya saing.

Baca juga: Anwar pelawa profesional MCOBA beri input perancangan pembangunan negara

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah, berkata kerjasama merentas sektor, termasuk menerusi perkongsian strategik dan pembangunan keupayaan, dapat membuka peluang perniagaan yang lebih luas kepada perusahaan Bumiputera.

Beliau turut menggalakkan pemilik perniagaan memilih kemudahan pembiayaan yang bersesuaian dengan tujuan pelaburan dan keperluan pengembangan syarikat masing-masing.

Ini termasuk mendapatkan modal kerja bagi memenuhi tempahan pelanggan, membeli mesin baharu untuk meningkatkan kapasiti operasi atau meneroka pasaran baharu.

“Kerjasama ini dapat membantu perusahaan Bumiputera menembusi pasaran baharu, mengembangkan operasi serta meningkatkan daya saing dalam merebut peluang perniagaan yang lebih luas,” menurut kenyataan media Bumiputera Business Excellence Awards (BBEA) 2026 yang merumuskan ucapan beliau.

Mohd Shahar merasmikan majlis BBEA 2026 di Royale Chulan Kuala Lumpur, baru-baru ini, yang mengiktiraf lebih 60 perniagaan Bumiputera dan pemimpin industri atas pencapaian serta sumbangan mereka dalam bidang masing-masing.

BBEA diwujudkan bagi mengiktiraf kecemerlangan perusahaan Bumiputera pada pelbagai peringkat pertumbuhan, termasuk kejayaan membangunkan produk dan perkhidmatan baharu serta mengembangkan jenama tempatan.

Pengerusi BBEA 2026, Tan Sri Syed Mohd Yusof Syed Nasir, berkata pengiktirafan pada peringkat kebangsaan penting dalam mengetengahkan hasil usaha usahawan serta memperkukuh kredibiliti yang dibina sesebuah perniagaan menerusi prestasinya selama ini.

Beliau turut menekankan peranan BBEA sebagai platform menghimpunkan pemilik perniagaan daripada pelbagai sektor untuk berkongsi pengalaman dan memperluas jaringan perniagaan.

Antara penerima pengiktirafan khas ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Seri Ir Ts Shamsul Ahmad, yang menerima National Corporate Leadership Award.

Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Junady Nawawi, menerima Visionary Leadership Award, manakala Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani, menerima National Aviation & Infrastructure Leadership Icon Award.

Pemilik Teedo Hotel, Datin Seri Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, menerima Iconic Woman Leadership Award, manakala Pengarah Utama Motors World Sdn Bhd, Datuk Marof Khan Mohamed Idris, menerima Brand of the Year.

Texpert Centre Sdn Bhd pula menerima Company of the Year, manakala AEO Freight Sdn Bhd dan AARGYP Scientific Sdn Bhd masing-masing menerima CEO of the Year dan Woman CEO of the Year.

Pengiktirafan turut diberikan kepada tokoh industri kreatif, termasuk pengasas bersama KRU Group, Datuk Norman Abdul Halim, serta penggiat seni Afiq Hakim Ahmad, Azharina Azhar, Nor Aniza Idris dan Haliza Hanim Abd Halim.

Penganjuran BBEA 2026 menghimpunkan usahawan, pemimpin korporat dan penggiat industri kreatif dalam usaha mengiktiraf pencapaian mereka, di samping memperluas jaringan serta peluang kerjasama perniagaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news