am@hmetro.com.my
Baca juga: Aksi ‘Spider-man’ di KLIA undang kecaman
Tasek Gelugor: Seramai 379 individu yang dikenal pasti mengalami masalah ketagihan dan gangguan kesihatan mental akibat dadah ‘piu-piu’ menerima rawatan pemulihan dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, jumlah itu direkod setakat Oktober lalu membabitkan semua agensi di bawah AADK.
Katanya, ‘piu-piu’ adalah istilah jalanan merujuk kepada dadah sintetik yang disalah guna melalui cecair vape, termasuk syabu, ketamin dan etomidate
“Penyalahgunaannya memberi kesan lebih serius kepada kesihatan mental, dengan kebanyakan mereka mengalami masalah halusinasi dan gangguan mental apabila datang mendapatkan rawatan.
“Disebabkan itu, pendekatan rawatan kepada kumpulan ini berbeza kerana mereka memerlukan pemantauan yang lebih rapi.
“Ada dalam kalangan mereka datang secara sukarela, selain dihantar ibu bapa atau rakan-rakan untuk mendapatkan rawatan,” katanya yang ditemui selepas program tanggungjawab sosial (CSR) Royale Chulan Ziarah PUSPEN ‘Daripada Pemulihan kepada Peluang’ di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kampung Selamat, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Boustead Hotels and Resorts Sdn Bhd, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata, pihaknya mengakui cabaran rawatan penagihan kini semakin kompleks kerana bukan lagi sekadar isu ketagihan, sebaliknya masalah kesihatan fizikal dan mental memerlukan pendekatan bersepadu.
Katanya, golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun merekodkan jumlah tertinggi dengan 259 kes, diikuti individu berusia lebih 40 tahun seramai 116 orang, manakala hanya empat kes membabitkan remaja berusia antara 13 hingga 18 tahun.
“Dari segi jenis dadah pula, penyalahgunaan dadah jenis Amphetamine Type Stimulants (ATS) kekal menjadi penyumbang utama kepada kes dual diagnosis dengan 273 kes, diikuti opiat (60 kes), ganja (25 kes), dadah lain (21 kes) dan benzodiazepine (16 kes),” katanya.
Menurutnya, AADK turut memantau kesihatan fizikal klien yang menghidap penyakit kronik, dengan tekanan darah tinggi merekodkan jumlah tertinggi iaitu 804 kes sehingga Oktober lalu, diikuti tuberkulosis (393 kes), Hepatitis C (324 kes), kencing manis (305 kes), penyakit jantung (93 kes), HIV (45 kes) dan Hepatitis B (dua kes).
Sementara itu, Ruslin berkata, AADK mengalu-alukan lebih banyak pembabitan sektor korporat menerusi program CSR bagi membantu memperkukuh proses pemulihan, khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan, latihan kemahiran dan sokongan sosial kepada bekas penagih.
© New Straits Times Press (M) Bhd