olivia@nst.com.my
Baca juga: Kerjasama strategik mampu tingkat daya saing perusahaan
Kota Kinabalu: Wong Vui Keong menyifatkan dirinya dan dua adik lelaki yang juga kembar sebagai “sentuhan rezeki” keluarga mereka selepas ketiga-tiganya, berjaya memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-28 di sini, hari ini.
Tiga beradik daripada enam beradik lelaki itu berkata, majlis konvokesyen berkenaan itu detik paling membanggakan buat ibu bapa mereka, khususnya bapa yang bekerja sebagai petani dan ibu yang juga suri rumah.
“Ahli keluarga kami kata mereka mahu menyentuh kami setiap kali berjumpa kerana boleh mendapat ‘rezeki’ daripada kami,” katanya kepada media selepas menerima skrol pada majlis berkenaan.
Graduan berusia 32 tahun itu bersama dua adiknya yang berusia 30 tahun, Vui Ken dan Vui Chen, adalah antara 5,081 graduan yang diraikan sepanjang majlis empat hari konvokesyen berkenaan.
Vui Keong yang berasal daripada keluarga petani di Kampung Nuluyan, Tenom, berkata, mereka berdepan
cabaran tersendiri, terutamanya dalam membiayai pengajian yang mencecah kos lima angka.
Tambahnya, kekangan kewangan keluarga memaksa mereka menanggung pengajian sendiri, dengan ketiga-tiganya mendapatkan pekerjaan sebagai tutor sambilan di fakulti masing-masing, sebelum menyambung pengajian ke peringkat PhD.
“Kami cari pendapatan sendiri dan bayar yuran pengajian sendiri. Jika ibu bapa ada wang lebih, barulah kami minta bantuan mereka, tetapi sebahagian besarnya kami tanggung sendiri kerana tahu keluarga dalam kesusahan,” katanya sambil menambah beliau beralih kepada pengajian separuh masa pada tahun ketiga atau keempat, sekali gus memanjangkan tempoh pengajiannya kepada kira-kira tujuh tahun.
Vui Keong, yang menamatkan pengajian PhD dalam bidang Ekonomi Kewangan berkata, mereka tidak pernah merancang untuk bergraduasi bersama, menjadikan detik itu lebih bermakna.
“Kami tidak merancangnya, tetapi secara kebetulan, kami bertiga bergraduasi bersama. Kami sangat teruja dan gembira kerana dapat membanggakan ibu bapa kami,” katanya.
Mengenai perancangan masa depan, beliau berkata, ketiga-tiga mereka berharap dapat kekal dalam bidang akademik dan sudah memohon jawatan pensyarah di UMS atau institusi pengajian tinggi lain.
Sementara itu, bapanya, Wong Yun Loi, 68, berkata, sebagai seorang petani, kejayaan tiga anak bongsunya itu menamatkan pengajian adalah pencapaian terbesar dalam hidupnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd