LATEST

Spider tak sangka turut jadi kegilaan Gen Z

Spider tak sangka turut jadi kegilaan Gen Z

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Tiga dekad masih bertahan dalam industri sejak memulakan langkah dari Johor ke ibu kota untuk menjual bakat dan membina nama, bukan perjalanan mudah ditempuhi kumpulan Spider.

Baca juga: Nadyatul tak kekok galas tugas pengurus

Pun begitu, perjuangan muzik Spider yang masih berterusan hingga kini dibarisi oleh Tam sebagai vokalis serta pemain gitar, Aie (dram), Judas Isscariot (pemain bass) dan Pown Hasril (gitar utama).

Sudah muncul dalam tiga konsert berskala mega sebelum ini, Spider bakal menjayakan Konsert Sengat Selatan di EduCity Sports Complex Iskandar Puteri, Johor pada 30 Januari depan.

Menganggap satu peluang keemasan, Tam atau nama sebenar Rustam Mustafah, 53, berkata dia tidak menduga Spider masih mempunyai ‘demand’ pada kalangan penggemar muzik.

“Kita pun tahu, perkembangan dalam industri muzik tempatan hari ini sudah banyak berubah, tetapi Alhamdulillah masih ada tempat buat Spider di hati pendengar, walaupun kita bermain muzik sudah 30 tahun.

“Paling tak disangka, kita (Spider) pun ada ramai peminat baharu daripada golongan Generasi Z yang hadir menyaksikan Konsert Spideraya pada September lalu, dan itu buat kita sangat teruja.

“Rasa terkejut pun ada, sebab banyak ‘feedback’ positif dan bagus yang kita terima daripada mereka. Antaranya, ada peminat Gen Z ini kata mereka datang tengok konsert Spider sebab suka lagu.

“Ini perkara biasa apabila orang selalunya lebih ingat lagu daripada penyanyi atau kumpulan muzik itu. Bagi saya, apa yang penting adalah sokongan diberi, terutama hadir menyaksikan konsert kita,” katanya.

Ditanya mengenai lagu baharu, Tam berkata, Spider pernah muncul dengan single, Keluar Sarang pada 2024, dan mereka sebenarnya dalam proses menghasilkan album baharu selepas album Ankabut.

“Kali terakhir, Spider keluarkan album Ankabut pada 2016, dan sudah 10 tahun kita tidak buat album. Niat dan hasrat itu sentiasa ada, tetapi selalu terpaksa ditangguhkan sebab jadual yang padat.

“Jadi, kita (Spider) akan cuba usaha buat album juga, sebab selain seronok dengan konsert, memang kalau ada album itu lagi syok. Tambah pula, dengan enam album yang Spider sudah ada, belum cukup.

“Saya sendiri pun rasa belum cukup ‘pecah kepala lagi’ kalau tidak ada album baharu. Sebabnya, bila nak buat album ini yang seronok adalah proses buat dan pilih lagu sesuai kerana mesti banyak idea.

“Kita juga masing-masing akan berbincang dan bertukar pendapat. Apa-apapun, kesemua lagu akan dimuatkan dalam album itu mesti ‘flavour’ Spider. Cuma, kena sesuai dengan muzik sekarang,” katanya.

Ujar Tam, antara faktor membantu Spider bertahan di hati peminat serta pendengar sehingga kini disebabkan lagu, dan penceritaan lirik sangat penting untuk sesuai dengan susunan melodi dihasilkan.

Menyentuh penjualan album secara fizikal dalam bentuk cakara padat (CD), Tam berkata, mungkin Spider akan buat juga tetapi dalam jumlah terhad mengikut permintaan untuk kelompok ‘collector’.

“Pada era teknologi sekarang, proses pemasaran lebih ke arah digital seperti strim. Jadi, kita kena akur dan menerima kaedah pemasaran yang baharu ini. Tetapi, kalau nak buat dalam bentuk fizikal pun boleh juga.

“Cuma, kita tidak boleh nak buat banyaklah sebab kena fikirkan kos pembikinannya. Apapun, album dalam bentuk CD itu akan kita buat ikut permintaan. Kiranya fokus kepada kelompok ‘collector’ sahaja,” jelasnya.

Antara katalog lagu popular Spider yang selalu peminat ‘sing along’ ialah Relaku Pujuk, Mungkinkah Terjadi, Bila Nak Saksi, Cinta Dewa Dewi, Aladin, Ngam Ho, Laukku Cukup Masin, Kasih Latifah, Kacap Terlabik, Mabok, dan Tapi Bagaimana.

Sengat Selatan imbau nostalgia

Kali pertama balik ke Johor untuk menjayakan Konsert Sengat Selatan Spider diakui umpama ‘sireh pulang ke gagang’ walaupun ketiadaan dua anggota lama iaitu Allahyarham Napie dan Allahyarham Tony Iskandar.

Ujar Tam, semangat ditinggalkan dua rakan itu akan terus diingati oleh semua anggota Spider yang ada sekarang kerana minat membawa mereka ‘bersatu’ untuk hijrah ke ibu kota dengan harapan.

“Memang rasa-rasanya Konsert Sengat Selatan Spider ini adalah satu nostalgia kita dalam perjuangan muzik yang dimulakan pada 1996. Ketika itu, kita semua masih muda di awal usia 20-an, dan minat muzik.

“Impian dan harapan kita dalam kepala waktu itu nak main muzik dan mahu lagu kita didengar oleh ramai orang. Alhamdulillah, hasrat itu sudah dimakbulkan Tuhan, dan sekarang kita teruskan sahaja.

“Terima kasih kepada semua peminat Spider yang menyokong kita, dan peminat-peminat di Johor harapnya dapatlah hadir pada konsert ini nanti. Begitu juga, peminat Spider di Singapura,” katanya.

Konsert Sengat Selatan Spider dibawakan oleh Icon Entertainment turut menampilkan maestro muzik terkenal, Datuk M Nasir sebagai artis jemputan istimewa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news