LATEST
National

6 kenderaan kemalangan gara-gara masalah teknikal kenderaan elektrik

6 kenderaan kemalangan gara-gara masalah teknikal kenderaan elektrik

ALOR SETAR: Sebuah kenderaan elektrik hilang kawalan lalu terbabas selepas pemandunya menekan pedal minyak berulang kali dipercayai akibat masalah teknikal, sehingga mengakibatkan kemalangan enam kenderaan di persimpangan lampu isyarat Simpang Kuala, Lebuh Raya Sultan Abdul Halim di sini, petang tadi.

Baca juga: 4 beradik ikut jejak ibu bapa jadi doktor

Nahas itu membabitkan sebuah BYD Sealion 7, Proton S70, Toyota Corolla Cross, Toyota Yaris dan dua Perodua Bezza.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali, berkata polis menerima laporan pada jam 5.11 petang daripada seorang lelaki berhubung kemalangan itu.

Beliau berkata, satu video berdurasi kira-kira 14 saat yang memaparkan kejadian itu turut tular dalam Facebook pada jam 7 malam.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 4.30 petang ketika BYD Sealion 7 dipandu lelaki berusia 37 tahun itu bergerak lurus di lorong tengah dari arah pusat bandar Alor Setar menuju ke Simpang Kuala.

“Setiba di lokasi kejadian, BYD Sealion 7 terbabit tiba-tiba tidak bergerak dipercayai akibat masalah teknikal, menyebabkan pemandu terbabit menekan pedal minyak beberapa kali sebelum kenderaan itu hilang kawalan.

“Ia menyebabkan kenderaan itu terbabas dan melanggar bahagian belakang kenderaan lain yang sedang berhenti di lorong kiri.

“Perlanggaran itu menyebabkan berlaku rantaian kemalangan dengan kenderaan lain,” katanya ketika dihubungi.

Susulan itu, Syed Basri berkata, pemandu BYD Sealion 7 ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis setelah keterangannya diambil.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap pemandu itu didapati negatif pengaruh dadah.

“Semua pemandu kenderaan lain terbabit kemalangan itu yang berusia antara 26 hingga 63 tahun dilaporkan tiada mengalami kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news