LATEST

Sebelah ginjal selaut kasih

Sebelah ginjal selaut kasih

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Baca juga: Tadabbur ciri ahli syurga dan ahli neraka

Kuala Lumpur: Kasih sayang terhadap darah daging membuatkan lelaki ini sanggup bergadai nyawa mendermakan ginjal kiri buat anak perempuannya yang menghidap penyakit buah pinggang kronik atau CKD.

Abdul Manaf Jaafar, 69, berkata, keputusan itu dibuat dengan rela hati kerana enggan anaknya, Nor Fatihah Abdul Manaf, 31, terus menderita dan dapat menjalani hidup normal.

Menceritakan kisahnya, Abdul Manaf berkata, sebagai bapa, dia tentunya sedih selepas dapat mengetahui derita ditanggung anaknya itu.

Lebih meruntun hati Abdul Manaf apabila menziarahi Nor Fatihah dan melihat kepayahan anaknya menjalani rutin dialisis di rumah.

“Pada satu hari, saya ke rumahnya dan nampak ruang dalam kediamannya yang penuh dengan air cucian untuk dialisis.

“Melihat keadaannya membuatkan saya sebak dan tak sampai hati hingga membukakan hati untuk saya untuk menderma buah pinggang empat tahun lalu,” katanya kepada Metro Ahad.

Bercerita lanjut, Abdul Manaf mengakui gementar sebelum masuk ke dewan bedah untuk menjalani prosedur pemindahan buah pinggang.

Menurut Abdul Manaf, kebimbangan itu kerana segala kemungkinan boleh berlaku semasa dan selepas pembedahan.

“Tapi saya reda dan ikhlaskan demi anak. Syukur, saya diizinkan bangun jam 10 malam hari yang sama cuma waktu sedar, anak sudah tiada di sebelah.

“Mulanya tak tahu bagaimana keadaannya namun lega selepas diberitahu anak selamat.

“Kini, sudah empat tahun berlalu dan syukur Allah SWT panjangkan umur saya dengan anak. Sekarang pun saya masih sihat malah boleh ke angkat kelapa sawit di kebun.

“Semuanya dengan izin Allah SWT dan saya berharap, anak terus diberi kesihatan dan bebas daripada segala penyakit,” katanya yang menetap di Terengganu.

Sementara itu, anaknya, Nor Fatihah yang bekerja sebagai jururawat mengakui terharu dengan kesudian bapanya mendermakan buah pinggang untuknya yang sebelum ini menghidap CKD tahap lima.

Menurut Nor Fatihah, pengorbanan bapanya itu terlalu besar dan tidak mampu dibalas sampai bila-bila kerana memberi ‘nyawa’ kedua buatnya.

“Saya dapat tahu menghidap CKD lima tahun lalu dan hampir setahun juga buat dialisis air.

“Pada satu hari, doktor tanya ada atau tidak ahli keluarga yang sudi menderma dan abah menawarkan diri.

“Hasil saringan dilakukan, abah melepasi penilaian cuma saya yang berat hati nak terima sampai waktu kami sebilik sebelum buat pembedahan, saya tanya abah adakah dia benar-benar nak dermakan buah pinggangnya.

“Saya takut jika berlaku komplikasi terhadapnya namun abah nekad jadi saya terima juga. Alhamdulillah, kami berdua selamat dan masih bernafas sampai ke hari ini dengan izin Allah SWT,” katanya.

Nor Fatihah berkata, dia tidak pernah menyangka dirinya akan menghidap CKD dan akhirnya menerima buah pinggang daripada bapa kandung sendiri.

“Sebelum sakit, saya yang merawat dan pantau pesakit kemudian jadi bila dapat tahu penyakit dialami, memang patah semangat.

“Tambahan, saya satu-satunya dalam keluarga yang menghidap CKD. Ikutkan, saya pernah menjadi pengikrar penderma organ pada 2017.

“Akhirnya, saya yang terima dan lebih membuatkan saya terharu kerana nampak kasih sayang abah dan betapa ambil beratnya dia terhadap saya terutama selepas pembedahan.

“Lagi sedih bila abah pernah kata andai satu hari dia tiada, sebelah buah pinggangnya tetap ada dengan saya. Jadi saya akan jaga pemberian itu dengan sebaiknya kerana anggap ia hadiah paling mahal dalam hidup saya,” katanya yang perlu bergantung dengan ubat seumur hidupnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news