London: Sekumpulan individu bersenjata yang merampas sebuah kapal kargo di Teluk Aden, berhampiran perairan Yaman, pada awal Sabtu sudah meninggalkan kapal berkenaan, menurut Pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO), sambil mengesahkan semua anggota kru selamat dan kapal itu sedang menuju ke pelabuhan persinggahan seterusnya, lapor Xinhua.
Baca juga: Bezzecchi buru kedudukan naib juara
Menurut nakhoda kapal itu, individu bersenjata berkenaan menaiki kapal pada 0630 GMT, kira-kira 64 batu nautika (119 kilometer) ke barat daya Balhaf, Yaman, sebelum mengambil alih kawalan kapal.
Dalam nasihat berasingan, sebuah firma keselamatan maritim Britain mengenal pasti kapal itu sebagai kapal kontena Marsa Virgo yang berdaftar di bawah bendera Panama.
Menurut firma itu, anggota kru berlindung di ruang perlindungan keselamatan kapal ketika rampasan berlaku dan berjaya mendapatkan semula kawalan selepas individu bersenjata berkenaan meninggalkan kapal.
UKMTO menasihatkan kapal yang berada di kawasan berkenaan supaya meneruskan pelayaran dengan berhati-hati serta melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada agensi itu.
Beberapa kapal dagang diserang atau dirampas di Teluk Aden dan perairan sekitarnya sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd