LATEST

Pilihan raya Taiwan diselubungi propaganda China

Pilihan raya Taiwan diselubungi propaganda China

TAIPEI: China meningkatkan tekanan terhadap Taiwan menjelang pilihan raya tempatan semalam dengan memperhebat rondaan pesawat tentera di sekitar pulau itu, selain menggerakkan jentera propaganda dan melancarkan serangan media terhadap calon parti pemerintah.

Kementerian Pertahanan Taiwan melaporkan pihaknya mengesan 33 pesawat tentera dan lapan kapal perang China di sekitar pulau itu dalam tempoh 24 jam menjelang pengundian.

Baca juga: Dua kilang musnah, dua lagi rosak dalam kebakaran di Subang Jaya

Penasihat Majlis Keselamatan Negara Taiwan, Alex Huang, berkata Beijing turut menggerakkan platform propaganda dan Pejabat Hal Ehwal Taiwan pada malam Jumaat sebagai persediaan menghadapi pengundian, yang disifatkannya sebagai ‘malam menjelang pilihan raya’ versi China sendiri.

Reuters melaporkan, media kerajaan China turut melancarkan serangan terhadap calon Parti Progresif Demokratik (DPP), Puma Shen, yang bertanding bagi jawatan Datuk Bandar Taipei.  

China, yang menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya, menuduh Shen menerima dana daripada Amerika Syarikat (AS) serta mendakwa Washington menggunakan kaedah terselindung untuk campur tangan dalam pilihan raya itu. 

Pasukan kempen Shen enggan mengulas dakwaan media kerajaan China itu sebelum pusat mengundi ditutup.

Shen, bekas ahli akademik yang kini menjadi ahli parlimen, turut dikenali sebagai pakar dalam perang maklumat China.

Pilihan raya di 22 bandar dan daerah Taiwan itu menyaksikan persaingan antara DPP yang memerintah dan parti pembangkang utama, Kuomintang (KMT), dengan isu pengangkutan dan alam sekitar menjadi antara tumpuan kempen.

Dalam pilihan raya tempatan empat tahun lalu, KMT memenangi 14 daripada 22 kerusi bandar dan daerah, berbanding lima yang dimenangi DPP, manakala baki tiga kerusi dimenangi parti lain atau calon bebas.

Persaingan politik itu dijangka berterusan menjelang pilihan raya presiden dan parlimen pada awal 2028. Presiden Lai Ching-te dijangka bertanding bagi penggal kedua, manakala KMT masih belum mengesahkan calonnya.

The post Pilihan raya Taiwan diselubungi propaganda China appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news