Kuala Lumpur: Satu ujian Sistem Amaran Awal Kebangsaan Malaysia yang dikenali sebagai MySiren akan dilaksanakan hari ini antara jam 10.10 pagi hingga 10.30 pagi.
MySiren dibangunkan bagi membolehkan amaran kecemasan disampaikan kepada orang awam dengan pantas menerusi teknologi Sistem Siaran Sel (Cell Broadcast System – CBS) menggunakan rangkaian mudah alih 4G dan 5G.
Baca juga: Side Income: 5 Cara Mula Tanpa Ganggu Kerja Tetap
CBS ialah teknologi yang menyiarkan amaran melalui sel rangkaian mudah alih terpilih. Ia dapat menyampaikan amaran dengan pantas dan serentak, menyasarkan kawasan tertentu serta tidak memerlukan aplikasi atau langganan.
Selain itu, amaran melalui CBS tidak menggunakan trafik data, oleh itu, amaran masih boleh diterima walaupun rangkaian mengalami kesesakan yang tinggi atau kuota data telah habis. Malah, teknologi itu berbeza daripada sistem berasaskan SMS yang menghantar mesej kepada nombor telefon tertentu dan bergantung pada giliran penghantaran mesej.
MySiren bertujuan membantu melindungi nyawa dan harta benda semasa berlakunya situasi kecemasan seperti banjir, cuaca buruk, tsunami, kebakaran besar, insiden berbahaya dan ancaman lain yang boleh menjejaskan keselamatan awam.
Sehubungan itu, sebagai sebahagian daripada penilaian kesiapsiagaan operasi, ujian Sistem Amaran Awam Nasional MySiren akan dilaksanakan hari ini. Ujian berkenaan bertujuan menilai prestasi sistem, mengenal pasti sebarang masalah teknikal serta memastikan keberkesanan penyampaian amaran kepada pengguna.
Bagaimanapun, MySiren memerlukan peranti yang serasi dan mempunyai perisian terkini.

Kemas kini peranti
Orang ramai disaran mengemas kini sistem operasi peranti masing-masing dan melakukan restart selepas kemas kini selesai. Ketika ini, peranti yang disokong termasuk iPhone 11 dan ke atas dengan iOS 27.2 atau lebih baharu; Android dengan Android 12 atau lebih baharu dan Huawei dengan EMUI 16 atau lebih baharu.
Susulan itu, setiap ahli keluarga juga digalakkan membantu keluarga masing-masing terutama ibu bapa, warga emas atau individu yang kurang mahir teknologi untuk mengemas kini peranti mereka. Mereka perlu menerangkan bagaimana amaran MySiren dipaparkan dan dibunyikan pada telefon. Namun apa yang penting adalah, kongsikan maklumat yang tepat daripada sumber rasmi sahaja.
MySiren berfungsi dengan mengeluarkan amaran yang akan dipaparkan dengan jelas pada skrin, disertai bunyi yang menarik perhatian dan getaran. Bagaimanapun, cara amaran dipaparkan mungkin berbeza mengikut model peranti, sistem pengendalian dan kategori amaran.
Sebagai contoh, Extreme Alert akan menghasilkan bunyi amaran kuat seperti siren berserta getaran, manakala Active Shooter Alert tidak menghasilkan bunyi atau getaran. National Alert dan Extreme Alert akan menghasilkan bunyi dan getaran walaupun telefon berada dalam mod senyap atau ‘Jangan Ganggu’ (Do Not Disturb). Kategori amaran lain pula akan mengikut tetapan telefon masing-masing.
Sehubungan itu, apabila menerima tanda amaran, orang ramai perlu bertenang, baca keseluruhan mesej dan segera patuhi arahan yang diberikan. Orang ramai juga digalakkan supaya terus mengikuti saluran rasmi untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Bagi mereka yang sedang memandu atau menunggang motosikal, jangan memegang, membaca atau mengendalikan telefon ketika memandu atau menunggang. Pastikan kenderaan sentiasa dalam kawalan dan berhenti hanya di tempat yang selamat serta dibenarkan sebelum membaca amaran. Jika terdapat penumpang yang boleh membacanya dengan selamat,minta bantuan mereka.
Kongsi maklumat
Penerima amaran juga digalakkan memberitahu orang lain yang berada berdekatan dan mungkin tidak menerima amaran,termasuk warga emas, orang kurang upaya, kanak-kanak, pelawat atau sesiapa yang tidak mempunyai telefon serasi.
Bagaimanapun, mereka yang menerima amaran, tidak perlu menghubungi perkhidmatan kecemasan semata-mata untuk mengesahkan amaran atau mendapatkan maklumat umum. Hubungi perkhidmatan kecemasan hanya apabila bantuan segera diperlukan atau mempunyai maklumat penting untuk dilaporkan.
Ketika ini, MySiren hanyalah satu daripada beberapa saluran yang digunakan oleh kerajaan untuk menyampaikan amaran kecemasan kepada orang ramai. Oleh itu, mereka yang tidak mempunyai telefon serasi masih boleh mendapatkan maklumat kecemasan melalui saluran lain yang digunakan oleh agensi pengurusan bencana, termasuk SMS, televisyen,radio, laman sesawang rasmi kerajaan dan platform media sosial.
Bergantung pada keadaan dan lokasi, amaran juga boleh disampaikan melalui siren, sistem siar raya atau petugas tindak balas kecemasan setempat. Orang ramai digalakkan supaya terus mengikuti maklumat melalui saluran rasmi kerajaan dan agensi pengurusan bencana, khususnya semasa kecemasan.
Apa yang penting adalah jangan panik semasa ujian amaran awam di seluruh negara kerana ia adalah sebahagian daripada persediaan operasi dan tidak dengan sendirinya bermaksud sistem telah beroperasi sepenuhnya. Bagaimanapun, ujian amaran juga boleh dilaksanakan secara berkala bagi memastikan sistem kekal berkesan dan boleh dipercayai.
© New Straits Times Press (M) Bhd