LATEST

Tiga anak Kapten AA dalam perjalanan ke Oman beri penghormatan terakhir

Tiga anak Kapten AA dalam perjalanan ke Oman beri penghormatan terakhir

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Baca juga: Dokumentasi pengebumian Kapten AA sedang diuruskan

Kuala Lumpur: Tiga anak pengacara dan personaliti media sosial, Allahyarham Muhammad Akhmal Asyraf Mohd atau dikenali Kapten AA kini dalam perjalanan ke Oman bagi memberi penghormatan terakhir kepada bapa mereka.

Perkembangan terbaru itu dikongsikan Saiful Nang yang juga rakan rapat Allahyarham Kapten AA menerusi satu hantaran di Threads, hari ini.

“Alhamdulillah anak-anak Akhmal Asyraf dan Jiha (Najihah Amirudin, isteri Akhmal) sudah dalam perjalanan untuk pertemuan terakhir dengan ayahnya.

“Hud, Luth dan Isa berangkat dengan iringan sahabat di Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP).

“Jika saya dan AA satu persahabatan, anak AA juga sahabat kepada anak saya. Harapnya mereka bersahabat macam bapa mereka bersahabat.

“Kami dan ayah menanti di Oman. Allahyarham sebenarnya salah seorang dari 20 orang pendiri RPWP. Sebuah komuniti lestari yang mandiri yang membangun ekonomi dan sahsiah,” tulisnya.

Semalam, media melaporkan tiga anak Allahyarham Muhammad Akhmal Asyraf menerima pasport bagi membolehkan mereka ke Oman untuk memberi penghormatan terakhir kepada bapa mereka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, tiga beradik itu menerima pasport masing-masing di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Shah Alam, Selangor, petang semalam.

Terdahulu, media melaporkan Muhammad Akhmal Asyraf dalam keadaan kritikal akibat jangkitan paru-paru ketika menjalani penggambaran program Kembara Wahyu 2027 di Oman.

Menurut laporan berkenaan, beliau pada mulanya menerima rawatan di Hospital Nizwa sebelum dipindahkan ke Hospital Badr Al Samaa Royal di Muscat untuk rawatan lanjut.

Beliau ditidurkan dan menjalani prosedur intubasi selepas mengalami kesukaran bernafas.

Allahyarham berada di Oman bersama pasukan produksi bagi menjayakan rakaman program yang dijadualkan berlangsung selama 14 hari dan dilaporkan sudah memasuki hari keenam penggambaran.

Muhammad Akhmal Asyraf menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.58 petang waktu Oman (10.58 malam waktu Malaysia) 27 November lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news