Demoso, Myanmar: Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dalam tiga serangan udara tentera Myanmar pada Sabtu, menurut saksi, ketika angka korban akibat pengeboman terus meningkat dalam tempoh seminggu selepas mahkamah antarabangsa memutuskan negara itu melakukan genosid.
Baca juga: Shahidan tuntut penjelasan kontroversi lumba jalan kaki diteliti
Satu serangan ke atas lokasi majlis perkahwinan di daerah Moe Bye, timur laut Myanmar, mengorbankan kira-kira 20 orang.
Rakaman video yang diberikan saksi, namun tidak dapat disahkan secara bebas oleh AFP, menunjukkan mangsa berlumuran darah dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan.
Pada Sabtu, beberapa lagi kematian dilaporkan dalam dua serangan pengeboman berasingan di negeri Rakhine, barat Myanmar.
Ketiga-tiga serangan itu berlaku selepas satu serangan pada Khamis di tengah Myanmar yang menurut kerajaan buangan mengisytiharkan dirinya sebagai Kerajaan Perpaduan Kebangsaan (NUG), mengorbankan 29 orang.
Serangan udara itu menambah jumlah korban dalam perang saudara yang dahsyat di negara berkenaan. Kumpulan pemantau konflik, ACLED, menganggarkan lebih 100,000 orang terbunuh sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 yang menggulingkan kerajaan pilihan raya pimpinan Aung San Suu Kyi.
Dalam serangan di Moe Bye, seorang saksi memberitahu AFP bahawa beliau terdengar bunyi pesawat terbang di ruang udara sebelum pengeboman menyasarkan lokasi majlis perkahwinan pasangan yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik.
Tentera menguasai bandar Moe Bye, namun pasukan pembangkang beroperasi di luar kawasan itu, berhampiran sempadan negeri Shan dan Karenni yang menempatkan ramai penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
“Saya menemui 17 mayat” dan ramai yang cedera, kata saksi yang bergegas ke lokasi kejadian.
“Saya terkejut dan tidak tahu siapa yang perlu diselamatkan terlebih dahulu.”
“Masih ada beberapa orang yang hilang, termasuk anak saudara perempuan saya,” tambah saksi yang meminta identitinya dirahsiakan.
“Saya masih belum dapat menemuinya.”
Ketua Yayasan Nway Oo Yaung Chi yang membantu penduduk kehilangan tempat tinggal di kem pelarian mengesahkan 21 kematian, termasuk lima kanak-kanak, manakala lebih 40 orang cedera.
Beliau berkata, bom kedua digugurkan selepas pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian, namun enggan mendedahkan identitinya.
AFP tidak dapat menghubungi pihak tentera Myanmar untuk mendapatkan komen berhubung ketiga-tiga serangan itu.
‘Di mana ibu bapa saya?’
Saksi serangan di Moe Bye memberikan enam rakaman video. Dalam salah satu rakaman, beliau mendukung seorang kanak-kanak perempuan yang berlumuran darah sambil menangis.
“Di mana ibu bapa saya?” tanya kanak-kanak itu.
“Adakah sesuatu berlaku kepada mereka? Di mana mereka? Tolong telefon ibu saya.”
Lelaki itu menjawab: “Jangan risau, saya akan telefon ibu kamu. Tetapi mari kita ke klinik untuk mendapatkan rawatan terlebih dahulu.”
“Ibu bapa saya tiada wang untuk membayar,” jawab kanak-kanak itu.
Satu lagi serangan pada Sabtu menyasarkan sebuah pasar di Mrauk-U, negeri Rakhine.
Ketua sebuah pertubuhan pengurusan pengebumian tempatan, Hla Maung Oo, berkata sembilan orang terbunuh.
Rakaman AFP dari lokasi kejadian menunjukkan orang ramai mencari sesuatu di celah runtuhan, manakala sekumpulan penduduk meratapi mayat yang dibaringkan di lokasi lain.
Seorang penduduk yang kehilangan tempat tinggal, Hla Than Aung, 62, berkata beliau mengeluarkan anak perempuannya yang berusia 17 tahun dari celah runtuhan, namun gadis itu meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital.
“Ketika saya berlari sambil mendukung anak perempuan saya, hanya satu perkara yang bermain dalam fikiran saya iaitu menyelamatkan nyawanya,” katanya.
“Sekarang dia sudah tiada dan hakikat bahawa saya masih hidup tidak lagi membawa banyak makna.”
Kawasan sama sekali lagi diserang dalam serangan udara kedua pada lewat Sabtu, menurut saksi, manakala gambar yang belum disahkan menunjukkan beberapa mangsa terkorban.
Sekolah turut diserang
Serangan pada Sabtu itu berlaku selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengeluarkan keputusan tegas pada 19 November bahawa Myanmar melakukan genosid sebelum tercetusnya perang saudara.
Tentera negara itu didakwa membunuh, merogol dan memusnahkan harta benda milik masyarakat minoriti Rohingya yang majoritinya beragama Islam secara sistematik ketika operasi ketenteraan pada 2017 di negeri Rakhine.
Pemimpin Myanmar, Min Aung Hlaing, yang mengetuai rampasan kuasa pada 2021 sebelum dilantik sebagai presiden awam tahun ini selepas pilihan raya yang dikecam hebat, berkata kerajaannya tidak akan mematuhi aspek keputusan yang dianggap “tidak wajar”, menurut laporan media kerajaan pada Khamis.
NUG berkata, seramai 29 orang, termasuk 20 orang awam yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak serta sembilan anggota Pasukan Pertahanan Rakyat (PDF) antitentera, terbunuh dalam serangan pengeboman, bedilan artileri dan dron ke atas sebuah sekolah serta biara di wilayah Magway, di timur Rakhine, pada Khamis.
Kenyataan NUG berkata anggota PDF berkenaan “sedang menjalankan usaha melindungi penduduk awam”.
Sebuah saluran Telegram pro-tentera pada Jumaat berkata, serangan itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat bahawa anggota PDF mengadakan satu majlis selepas menjalani latihan.
Seorang guru di sekolah berkenaan memberitahu AFP bahawa bom itu jatuh di kawasan tempat ibu bapa berkumpul untuk mengambil anak masing-masing selepas terdengar bunyi pesawat.
© New Straits Times Press (M) Bhd