PENDANG: Perjalanan seorang lelaki berusia 36 tahun dari Pendang menghala ke Gurun berakhir tragedi apabila motosikal ditunggangnya terbabas sebelum terbakar di Kilometer 71.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang itu, mangsa yang berasal dari Taman Setia di sini meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Baca juga: MySiren berjaya diuji
Ketua Polis Daerah Pendang, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan motosikal terbabas dan terbakar daripada anggota bertugas di Balai Trafik Pendang.
Beliau berkata, mangsa dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian sebelum terjatuh di lorong kecemasan.
“Motosikal ditunggang mangsa dipercayai terseret ke hadapan sebelum terbakar.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Pendang,” katanya hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.
Rodzi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
The post Lelaki maut motosikal terbakar di lebuh raya appeared first on Utusan Malaysia.