LATEST
National

‘Hati Nana belum terbuka’

‘Hati Nana belum terbuka’

KUALA LUMPUR: Selepas lebih 17 tahun membesarkan anak tunggal, Muhammad Rayyan Nakhaie, 18, tanpa kehadiran pasangan, Siti Nordiana Alias mengakui pintu hatinya masih belum terbuka untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi.

Baca juga: Dokumentasi pengebumian Kapten AA sedang diuruskan

Bagaimanapun, kehidupan penyanyi lagu Memori Berkasih itu kini memasuki fasa baharu apabila Rayyan mula melanjutkan pengajian di peringkat asasi di sebuah institusi pendidikan tinggi swasta, sekaligus membuatkan dia perlu membiasakan diri tinggal bersendirian di rumah.

Mengakui sunyi sejak anaknya tidak lagi tinggal bersama, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana, 42, mengakui perlu menerima hakikat itu demi memberi ruang kepada Rayyan belajar hidup berdikari.

“Siapa yang tak sunyi duduk sendirian, tetapi nak buat macam mana. Saya kena benarkan Rayyan belajar hidup sendiri demi masa depannya juga.

“Hendak tak nak, saya kena juga lepaskan dia. Tapi jarak antara kampus dan rumah tidak jauh pun.

“Isnin hingga Jumaat memang dia berada di sana manakala hujung minggu, jika saya tiada persembahan, kami akan berjumpa. Kalau hendak jumpa dia bila-bila masa pun sebenarnya tidak ada masalah sebab dekat,” katanya ditemui pada sidang media A Night Of Soul di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.

Ditanya sama ada Rayyan pernah menyarankan ibunya mencari pasangan hidup bagi mengisi kesunyian sejak dia menyambung pengajian, Siti Nordiana berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan secara serius.

Bagaimanapun, dia mengakui pernah berseloroh dengan anaknya mengenai kemungkinan kembali mendirikan rumah tangga. Namun, Rayyan tidak pernah menghalang, malah menyerahkan keputusan itu kepadanya.

“Rayyan jenis yang tidak kisah, dia serahkan kepada saya. Dia cakap terpulang kepada saya asalkan saya gembira, dia ikut sahaja.

“Kami tidak pernah pun berbincang mengenai perkara itu (berkahwin), setakat bergurau adalah. Saya pernah bertanya bagaimana jika saya berkahwin.

Dia hanya jawab apa-apa yang saya hendak buat dan terbaik untuk saya, buatlah… Dia sudah matang,” katanya.

Beralih kepada perkembangan kerjaya seni, Siti Nordiana berkata, dia dalam proses menghasilkan single solo terbaharu yang bakal menampilkan sentuhan kreatifnya sendiri.

Selepas sekian lama menyanyikan lagu ciptaan komposer lain dan aktif dengan projek duet, Siti Nordiana mahu mencuba sesuatu yang lebih peribadi dengan menghasilkan sendiri karya terbaharunya.

“Saya sedang mencari idea untuk single terbaharu. Sebelum ini, saya banyak menyanyikan lagu komposer lain, tetapi kali ini saya akan mencipta sendiri lagu untuk single seterusnya berdasarkan cita rasa saya.

“Lagu itu nanti mungkin berkisar pengalaman hidup sendiri dan rakan-rakan. Banyak perkara yang boleh dijadikan inspirasi untuk menghasilkan sebuah lagu,” katanya.

Berkongsi proses kreatifnya, Siti Nordiana berkata, dia mempunyai pendekatan tersendiri dalam menghasilkan melodi meskipun tidak mempunyai kemahiran bermain alat muzik.

Akuinya, setiap melodi yang terlintas di fikiran akan dirakam menerusi nota suara sebelum dia mula menyusun bahagian rangkap, korus dan elemen yang mampu menjadi tarikan sesebuah lagu.

Selepas melodi terbentuk, barulah dia mencari lirik bersesuaian bagi melengkapkan karya berkenaan.

“Saya tidak boleh bermain alat muzik. Jadi, biasanya saya akan ‘humming’ dahulu dan rakam dalam nota suara.

“Selepas itu, saya akan cari bahagian rangkap, korus dan bahagian yang boleh menjadi tarikan lagu sebelum mencantumkannya. Kemudian, barulah saya mencari lirik.

“Itulah cara saya menghasilkan lagu. Lagu seperti Terus Mencintai dan Hatiku Milikmu juga dihasilkan menggunakan pendekatan sama,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Nordiana berkata, dia sentiasa berusaha memastikan komitmen kerjaya seni tidak menghalang kehidupan peribadi, terutama minatnya terhadap aktiviti melancong.

Mengakui jadual kerja adakalanya sangat padat apabila menerima undangan persembahan berturut-turut, Siti Nordiana bagaimanapun akan mengambil peluang untuk berehat dan bercuti sebaik mempunyai kelapangan.

“Sebenarnya, kehidupan saya seimbang sahaja. Apabila sudah penat bekerja, saya akan merancang percutian yang lebih panjang, mungkin dua hingga tiga kali setahun.

“Baru-baru ini, saya ke Iceland selama kira-kira dua minggu. Kalau sibuk, memang sibuk sangat-sangat sampai tiada masa kerana jadual persembahan berturut-turut.

“Apabila tidak sibuk, saya akan ambil peluang untuk bercuti atau melakukan perkara yang saya suka. Saya memang suka melancong,” katanya.

Siti Nordiana mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Allahyarham Mohd Faizal Yusup pada 29 April 2006. Bagaimanapun, mereka bercerai pada 14 September 2009 selepas lebih tiga tahun berkahwin.

Bekas suaminya itu meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2011, kira-kira dua tahun selepas perceraian mereka, iaitu ketika Rayyan berusia tiga tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news