TAWAU: Kerajaan Persekutuan wajar mempercepat kelulusan peruntukan RM1.4 bilion bagi pelaksanaan Fasa 1B Projek Sabah Southern MADANI Link sebagai penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik berskala besar di Pantai Timur Sabah.
Baca juga: Jangan panik MySiren diuji hari ini
Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kejadian gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan lapan daerah di kawasan itu baru-baru ini perlu mendapat perhatian serius, memandangkan kejadian sama berulang dalam tempoh hanya 15 bulan.
Beliau berkata, gangguan sebelum ini berlaku pada September 2025, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh sambungan elektrik bagi mengurangkan kesan kejadian seumpama itu pada masa depan.
“Kita akui bencana alam fenomena di luar kawalan, tetapi strategi mengurus risiko dan kesan kepada sesuatu bencana itu perlu menjadi satu keutamaan,” katanya pada program Program Sentuhan Kasih dan Jualan Rahmah MADANI di Pasir Putih Tawau di sini hari ini.
Gangguan bekalan elektrik berpunca kejadian menara penghantaran elektrik tumbang di Ranau hingga menjejaskan lebih 150,000 penduduk di lapan daerah sejak beberapa hari lalu.
Daerah terbabit ialah Tawau, Sandakan, Semporna, Lahad Datu, Kunak, Beluran, Telupid, dan Kinabatangan.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, antara penyelesaian penting ialah melengkapkan rangkaian grid elektrik Sabah menerusi pembinaan Sabah Southern Link yang menghubungkan Mengalong, Sipitang hingga ke Tawau.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, rangkaian berkenaan akan menyediakan laluan alternatif sambungan elektrik dari Pantai Barat ke Pantai Timur sekiranya berlaku gangguan pada East-West Link, iaitu rangkaian grid sedia ada dari Kolopis, Penampang ke Segaliud.
Katanya, Kerajaan Persekutuan sebelum ini meluluskan pinjaman mudah RM198 juta kepada Sabah Electricity bagi membolehkan pelaksanaan Fasa 1A projek berkenaan bermula September 2025.
Fasa 1A membabitkan pembinaan rangkaian sepanjang 60 kilometer (km) dari Mengalong ke Upper Padas dan dijangka siap pada September 2028.
Bagaimanapun, Armizan berkata, permohonan peruntukan bagi Fasa 1B yang dianggarkan berjumlah RM1.4 bilion masih belum diputuskan Kerajaan Persekutuan.
Fasa 1B membabitkan pembinaan rangkaian sepanjang kira-kira 270km dari Upper Padas ke Tawau dan menjadi komponen penting bagi melengkapkan keseluruhan projek Sabah Southern MADANI Link.
Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberikan pertimbangan khas supaya pelaksanaan Fasa 1B dimulakan segera tanpa perlu menunggu Fasa 1A disiapkan terlebih dahulu.
“Kita tidak wajar menunggu sehingga Fasa 1A siap sebelum memulakan Fasa 1B. Peruntukan bagi fasa itu perlu diputuskan segera supaya pelaksanaannya dapat dimulakan dan disiapkan dalam tempoh yang hampir sama dengan Fasa 1A.
“Dengan itu, risiko gangguan bekalan elektrik yang memberi kesan kepada penduduk di Pantai Timur Sabah dapat ditangani dengan lebih baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd