55 lagi ditahan ingkar SOP semalam

55 lagi ditahan ingkar SOP semalam

latifah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Seramai 55 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam, 54 individu dikompaun dan seorang lagi direman.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan 68,127 pemeriksaan semalam.

“Antara kesalahan direkodkan ialah gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis dan tiada penjarakan fizikal, masing-masing sebanyak 17 kes, tidak memakai pelitup muka (12 kes) dan lain-lain (9),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau turut memaklumkan, Operasi Benteng semalam merampas empat kenderaan darat dan menahan enam orang pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi dua aktiviti pengusiran.

Katanya, menerusi Operasi Benteng, PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi keselamatan lain turut menjalankan 256 Sekatan Jalan Raya (SJR).

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, semalam, seramai 553 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara.

“Secara kumulatifnya, sejak 24 Julai 2020, seramai 174,360 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 76 hotel dan 10 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, 78 operasi sanitasi dijalankan semalam meliputi 26 zon merah, 8 zon jingga, 9 zon kuning dan 4 zon hijau di seluruh negara.

“Secara kumulatifnya, sebanyak 21,042 operasi sanitasi yang merangkumi 154 zon dilakukan sejak 30 Mac 2020.

“Ia membabitkan pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan anggota Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di peringkat peruncit dan pemborong.

“Semalam, KPDNHEP membuat 760 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan termasuk 572 peruncit, 157 pemborong dan pengilang (31).

“Kementerian berkenaan juga melakukan 1,457 pemeriksaan khas dan mendapati semua premis mematuhi SOP.

Katanya, hasil daripada pemantauan yang dijalankan, mendapati bekalan makanan dalam keadaan stabil dan mencukupi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top