Transformasi taman eratkan semula semangat kejiranan penduduk PA Hang Tuah

Transformasi taman eratkan semula semangat kejiranan penduduk PA Hang Tuah

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lebih 800 penduduk Perumahan Awam (PA) Jalan Hang Tuah, di sini, menikmati manfaat, keselesaan dan kemudahan hasil transformasi taman serba guna di kawasan perumahan mereka sejak dua tahun lalu.

Taman serba guna yang dulunya kurang dimanfaatkan kini berubah wajah apabila menjadi sebuah ruang rekreasi yang meriah.

Projek menaik taraf taman serba guna itu siap sepenuhnya pada 2023 melalui Program Penambahbaikan Ruang Awam Merdeka 118 oleh PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PMVSB) bertujuan mengeratkan semangat kejiranan serta membangkitkan rasa bangga dalam kalangan penduduk terhadap kawasan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PMVSB Tengku Datuk Ab Aziz Tengku Mahmud berkata, usaha itu diteruskan di lokasi lain sekitar Presint Merdeka 118 dan sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk menghidupkan semula ruang awam di kawasan perumahan sekitar.

“Inisiatif dilaksanakan di bawah Warisan Kuala Lumpur (KL) iaitu sebuah program kebangsaan yang digerakkan melalui kerjasama sektor awam, dengan Merdeka 118 sebagai salah satu projek utama di bawah usaha itu.

“PA Jalan Hang Tuah ini dekat di hati kami. Ia bukan sekadar ruang fizikal malah menjadi lambang komitmen kami terhadap keterangkuman, kemampanan dan kesejahteraan komuniti untuk jangka masa yang panjang.

“Kami berasa bangga melihat taman ini berkembang menjadi ruang yang lebih selamat, mesra penduduk dan digunakan sepenuhnya sekali gus mencerminkan semangat komuniti penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, terbaru, taman kejiranan di PA Seri Sarawak disiapkan oleh PMVSB untuk menyediakan ruang yang lebih selamat dan berfungsi untuk komuniti setempat berdekatan Merdeka 118.

Beliau berkata, kemampanan kekal menjadi fokus utama program malah bahan terpakai seperti pagar lama dan komponen permainan kanak-kanak dikitar semula dalam proses pembinaan.

“Manakala, bumbung Tetra Pak digunakan semula untuk mengurangkan haba dan bunyi.

“Pendekatan berasaskan alam semula jadi turut diterapkan seperti penggunaan penurap berliang untuk saliran lebih baik serta penanaman semula pokok supaya ruang ini kekal mesra alam dan berdaya tahan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk PA Jalan Hang Tuah, Mohd Ismail Abdullah berkata, sejak dua tahun lalu, taman berkenaan tidak hanya berfungsi sebagai kemudahan rekreasi malah pemangkin kepada semangat kejiranan dalam komuniti.

“Kami menyaksikan perubahan ketara, bukan hanya daripada segi fizikal tetapi juga dalam kalangan penduduk.

“Kini lebih ramai yang saling bertegur sapa dan meluangkan masa bersama.

“Taman ini menjadi tempat bermain buat cucu kami, tempat keluarga berhimpun, dan ruang yang menyatukan jiran tetangga. Kami amat bersyukur,” katanya.

Seorang penduduk PA Jalan Hang Tuah dikenali Telaga, 54, gembira melihat transformasi taman berkenaan.

“Saya tinggal di sini sejak lebih 30 tahun lalu, dan taman ini dulu tidak begitu digunakan tapi kini menjadi nadi kehidupan harian kami.

“Hati saya berasa tenang apabila dapat lihat anak-anak bermain dan warga emas beriadah di taman ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top