Verstappen 'restu' jurutera sertai McLaren

Verstappen 'restu' jurutera sertai McLaren

Amsterdam: Juara dunia empat kali, Max Verstappen mendedahkan dia sendiri menggalakkan jurutera perlumbaannya, Gianpiero Lambiase untuk meninggalkan Red Bull dan menyertai McLaren selepas menerima tawaran lumayan.

Lambiase dijadual menyertai McLaren sebagai ketua pegawai perlumbaan sebaik kontraknya bersama Red Bull berakhir pada penghujung 2027, sekali gus menjadi antara nama besar terbaru meninggalkan pasukan itu.

Menurut Verstappen, keputusan itu wajar dibuat memandangkan mereka sudah mencapai segala kejayaan bersama termasuk empat kejuaraan dunia.

“Dia beritahu saya mengenai tawaran yang dia terima. Saya kata, ‘bodohlah kalau tak ambil’.

“Kami sudah capai semuanya bersama. Ini peluang besar, bukan saja untuk karier tapi juga masa depan keluarga dia,” katanya pada acara Viaplay di Amsterdam.

Pelumba Belanda itu turut mendedahkan Lambiase mendapatkan pandangannya sebelum membuat keputusan, dan dia tidak teragak-agak memberi restu penuh.

“Dia macam minta ‘kebenaran’ daripada saya. Saya kata, memang dia kena pergi. Dia mahu dengar sendiri daripada saya,” katanya.

Penghijrahan Lambiase menambah senarai panjang pegawai kanan yang meninggalkan Red Bull sejak kebelakangan ini, termasuk bekas prinsipal Christian Horner yang dipecat tahun lalu.

Dalam masa sama, masa depan Verstappen sendiri bersama Red Bull terus menjadi tanda tanya walaupun dia masih mempunyai kontrak hingga 2028, terutama susulan rasa tidak puas hati terhadap perubahan peraturan enjin baharu.

Red Bull turut mengumumkan rombakan teknikal dengan Ben Waterhouse kini memegang peranan lebih besar sebagai ketua prestasi dan reka bentuk, manakala Andrea Landi akan menyertai pasukan itu mulai 1 Julai sebagai ketua prestasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top