hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 55 warga Malaysia ditahan di luar negara selepas dipercayai terbabit sebagai ‘keldai dadah’ untuk sindiket penyeludupan antarabangsa bagi tempoh Januari hingga September lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan statistik JSJN daripada jumlah berkenaan, 50 daripadanya adalah lelaki manakala lima lagi adalah perempuan.
“Tangkapan turut dilaporkan berlaku di 19 negara dengan jumlah tertinggi direkodkan di Indonesia (10 orang), Singapura (9 orang), Kemboja (6 orang), Taiwan (6 orang), dan Thailand (5 orang).
“PDRM memandang serius peningkatan kegiatan penyeludupan dadah yang menggunakan orang awam sebagai mangsa.
“JSJN mendapati sindiket sentiasa mencari mangsa baharu dan kini aktif menggunakan media sosial, iklan kerja palsu, serta tawaran perjalanan ditaja untuk merekrut mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sindiket ini secara khusus menyasarkan golongan belia, pencari kerja, pelajar, dan individu berpendapatan tidak stabil.
“Mangsa diumpan dengan tawaran upah lumayan antara RM1,000 hingga RM10,000 termasuk tawaran tiket penerbangan, penginapan, dan ‘kerja mudah tanpa pengalaman’.
“Semua tawaran ini hanyalah helah untuk memperdaya mangsa membawa bagasi atau bungkusan yang sebenarnya mengandungi dadah,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa taktik sindiket kini semakin canggih, dengan pelbagai modus operandi digunakan untuk menyembunyikan dadah.
“Dadah disorokkan di dalam bagasi, barangan peribadi, perabot, makanan, peralatan elektronik, dan juga melalui perkhidmatan kurier. Kaedah body packing (menelan dadah) juga masih dikesan,” katanya.
Katanya, destinasi utama penyeludupan ini termasuk United Kingdom (UK) beberapa negara Eropah, dan negara-negara Asia Timur.
“Antara jenis dadah yang lazim diseludup ialah Methamphetamine (Syabu), MDMA (Ecstasy), ganja, dan kokain, bergantung kepada permintaan pasaran.
“Polis menggesa masyarakat agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran palsu yang meragukan,” katanya.
Menurutnya, orang ramai diingatkan bahawa alasan ‘tidak tahu kandungan bagasi’ tidak akan diterima oleh kebanyakan negara.
“Negara-negara ini mempunyai undang-undang dadah yang sangat tegas, termasuk hukuman mati dan penjara,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyalahgunaan atau pengedaran dadah boleh menyalurkannya terus ke talian Hotline JSJN di 012-208 7222.
© New Straits Times Press (M) Bhd




