bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Seramai 56 daripada 3,629 pekerja warga asing yang menjalani ujian saringan COVID-19, semalam disahkan positif virus itu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sehingga kini jumlah pekerja asing yang disahkan positif COVID-19 adalah seramai 9,381 orang.
“Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 589,220 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan COVID-19 yang membabitkan 30,800 majikan.
“Daripada jumlah itu, seramai 9,381 orang disahkan positif COVID-19 manakala 579,839 lagi adalah negatif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ismail Sabri berkata, sehingga kini, sebanyak 1,513 klinik terbabit dengan program saringan ini yang diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari lalu.
Sementara itu, katanya seramai 983 individu yang tiba di semua pintu masuk antarabangsa, semalam dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara.
“Secara kumulatifnya, sejak 24 Julai 2020, seramai 140,154 individu pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 80 hotel dan 11 institut latihan awam serta institut pengajian swasta di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, seramai 7,477 individu dikuarantin dan seramai 131,774 orang dibenarkan pulang manakala 903 lagi dibawa ke hospital,” katanya.
Mengenai pemeriksaan tapak binaan, beliau berkata, anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memeriksa sembilan tapak binaan di seluruh negara, semalam dan kesemuanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Semalam, anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 747 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan terdiri peruncit (573), pemborong (143) dan pengilang (31).
“KPDNHEP melakukan 2,153 pemeriksaan khas pematuhan SOP dan daripada jumlah itu, 2,142 premis mematuhi SOP, empat diberi nasihat manakala tujuh lagi dikompaun,” katanya.
Beliau berkata, pemantauan dan pemeriksaan KPDNHEP di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan adalah stabil dan mencukupi.
Mengenai sanitasi awam, katanya sebanyak 87 operasi sanitasi dilakukan meliputi 27 Zon Merah, empat Zon Jingga, 11 Zon Kuning dan tiga Zon Hijau di seluruh negara, semalam.
“Operasi membabitkan 410 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 220 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 41 lain-lain agensi serta 81 buah jentera JBPM.
“Secara kumulatif, sebanyak 18,210 operasi sanitasi yang merangkumi 146 zon dilakukan sejak 30 Mac tahun lalu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd