essabuyamin@bh.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 5,972 warga asing kini memegang pas di bawah dasar baharu Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) sehingga 31 Ogos lalu, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata, jumlah itu merangkumi 2,134 peserta utama (prinsipal) dan 3,838 tanggungan dengan majoriti pemegang pas terdiri daripada warga China.
“Daripada jumlah itu, majoriti pemegang Pas MM2H adalah daripada China iaitu sebanyak 3,414 orang prinsipal dan tanggungan, manakala Taiwan (611 orang), Hong Kong (292 orang), Singapura (184 orang) dan Amerika Syarikat (174 orang) mengisi lima negara teratas bagi pemegang Pas MM2H.
“Program MM2H adalah program yang menawarkan kemudahan pas lawatan sosial jangka panjang dan bukannya program yang memberi kemudahan kerakyatan kepada warga asing,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Ia bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (BN-Maran) mengenai statistik terkini mengikut negara asal pelancong-pelancong asing yang datang di bawah MM2H dan pemberian visa jangka panjang program berkenaan serta berapa ramai yang memilih untuk terus menetap di Malaysia.
Tiong berkata, warga asing yang ingin memohon kerakyatan Malaysia perlu memohon melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan dalam Perlembagaan Malaysia.
“Melalui syarat baharu Program MM2H sudah mewajibkan setiap peserta membeli dan memiliki rumah di Malaysia bagi menunjukkan komitmen peserta dan tanggungan untuk tinggal lebih lama dan berbelanja di Malaysia serta secara langsung menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara,” katanya.
Program MM2H yang diperkenalkan kerajaan sejak tahun 2002 adalah antara inisiatif utama menarik golongan profesional, pesara dan individu berpendapatan tinggi untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi kediaman jangka panjang di rantau Asia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




