am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Mubarak Thahak yang sebelum ini dilaporkan sudah dilucut daripada kedudukan sebagai Undang Luak Sungei Ujong, bersama lima yang lain memfailkan saman pemula untuk menggantung pelaksanaan penguatkuasaan keputusan mesyuarat khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan pada 17 April lalu.
Selain Mubarak, lima lagi yang bertindak selaku plaintif dalam saman itu ialah Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid.
Mereka menamakan Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin, DKU dan kerajaan negeri Sembilan sebagai defendan melalui saman pemula yang difailkan semalam menerusi firma guaman, Tetuan Deidra Sharina & Co.
Melalui saman pemula itu, pemohon memohon perisytiharan bahawa mereka selaku Ahli DKU, berhak dibekalkan salinan minit mesyuarat Sidang Khas DKU yang diadakan pada 17 April lalu di Istana Besar Seri Menanti (Minit Mesyuarat Sidang Khas)
Selain itu, plaintif memohon perintah supaya defendan pertama dan kedua dengan sendirinya atau ejen mereka, mengemukakan dan menyerahkan kepada mereka Minit Mesyuarat Sidang Khas berkenaan dalam masa tujuh hari.
Turut dimohon, perintah penggantungan pelaksanaan sebarang penguatkuasaan oleh defendan yang bersangkutan dengan keputusan Mesyuarat Khas DKU bertarikh 17 April lalu sehingga Minit Mesyuarat Sidang Khas berkenaan dikemukakan dan diserahkan kepada mereka.
Mereka juga memohon kos dan relif lain atau perintah yang difikirkan adil dan wajar oleh mahkamah.
Plaintif juga memohon supaya saman pemula itu didengar dengan segera, melalui permohonan perakuan segera yang diikrarkan peguam, Asmawi Ismail.
Melalui afidavit sokongan yang diikrarkan Muhammed, beliau berkata pada 16 April lalu, beliau berserta plaintif kedua, kelima dan keenam, telah menerima sepucuk surat jemputan dari defendan kedua bertarikh 15 April 2026 untuk menghadiri Mesyuarat Khas DKU keesokannya di Istana Besar Seri Menanti.
Tiada agenda dilampirkan
Beliau berkata, jemputan itu adalah di luar kebiasaan prosiding defendan kedua di mana pada kebiasaannya, jemputan mesyuarat akan dikeluarkan sekurang-kurangnya satu minggu sebelum tarikh mesyuarat akan diadakan untuk membolehkan ahli mesyuarat membuat pelarasan jadual tugasan rasmi masing-masing.
Katanya, menurut surat jemputan, mesyuarat dipanggil untuk mendengar laporan aduan daripada Telaga Undang Luak Sungei Ujong berkaitan dengan plaintif pertama.
“Kami menegaskan bahawa pada kali ini, tiada sebarang agenda mesyuarat telah dilampirkan bersama surat jemputan bertarikh 17 April 2026, yang ditandatangani defendan pertama selaku Setiausaha Defendan Kedua.
“Kami juga menegaskan ketiadaan agenda mesyuarat ini juga di luar kebiasaan prosiding DKU kerana pada kebiasaannya, agenda mesyuarat, nota dan minit mesyuarat DKU terdahulu akan turut diserahkan kepada ahli mesyuarat sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tarikh mesyuarat untuk membolehkan ahli membuat persediaan rapi.
“Meskipun panggilan menghadiri Mesyuarat Khas DKU ini bersifat segera, kami menyatakan sekurang-kurangnya Agenda Mesyuarat Khas berkenaan haruslah disediakan dan dimajukan oleh pihak DKU kepada semua ahli-ahli Mesyuarat terlebih dahulu,” katanya.
Muhammed berkata, plaintif pertama dan keempat tidak menerima sebarang surat jemputan dari pihak defendan kedua untuk menghadiri Mesyuarat Khas DKU berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




