Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran 19 pegawai kanan melibatkan pelbagai jawatan di Bukit Aman dan kontinjen.
Setiausaha Polis Malaysia Datuk Abdul Rahman Kassim berkata pertukaran itu melibatkan pelbagai jabatan termasuk Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Jabatan Logistik dan Teknologi serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA).
Beliau berkata Pengarah JPJKK Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilantik sebagai Pengarah JKDNKA Bukit Aman dengan memangku Gred VU5 (JUSA A) manakala Timbalan Pengarah (Fasiliti/Bekalan/Aset) Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman SAC Zakaria Ismail dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi) jabatan sama dengan memangku pangkat DCP.
“Ketua Penolong Pengarah (Pengangkutan) Bahagian Teknikal/Operasi Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman SAC Zulkifli Abu Bakar pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Fasiliti/Bekalan/Aset) jabatan sama,” menurutnya dalam kenyataan di sini.
Abdul Rahman berkata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Helmi Aris dilantik sebagai Ketua JPJKK Pulau Pinang dengan memangku pangkat SAC manakala Ketua Penolong Pengarah (Pusat Bekalan Polis) Bahagian Fasiliti/Bekalan/Aset Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman ACP Amran Ab Rashid dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Pengangkutan) Bahagian Teknikal/Operasi jabatan sama dengan memangku pangkat SAC.
Selain itu, Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Kewangan/Perbankan/Koperasi/Insurans) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman ACP Lim Chee Wah dilantik sebagai Ketua Urus Setia KPN (Perundangan) PDRM dengan memangku pangkat SAC.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir pula dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.
Abdul Rahman juga berkata Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Johor dengan memangku pangkat SAC manakala Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Operasi Pencegahan) JPJKK Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.
“Penolong Pengarah Narkotik (Risikan) Zon II Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman ACP Mohd Taufik Maidin dilantik sebagai Ketua JKDNKA Kontinjen Perak dengan memangku pangkat SAC manakala Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Ramsay Anak Embol bertukar sebagai Ketua Polis Daerah Klang Utara, Selangor,” katanya.
Turut terlibat Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas Superintenden Nik Aminuddin Raja Abdullah yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang dengan memangku pangkat ACP.
Beliau berkata Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Ibrahim Husin pula dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Gombak, Selangor manakala Ketua Polis Daerah Selama Superintendan Sarudin Samah dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Shah Alam, Selangor, kedua-duanya memangku pangkat ACP.
“Turut terlibat, Timbalan Ketua JPJKK (Operasi Pencegahan/Analisa Pendataan/Koordinasi Sumber Sokongan) Kontinjen Kelantan Superintenden Zaizul Rizal Zakaria dilantik sebagai Ketua JPJKK Kontinjen Kelantan dengan memangku pangkat ACP,” katanya.
Beliau berkata Ketua Penolong Pengarah (Kawalan Lalulintas) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Superintendan Mohd Yatim Osman dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Seremban, Negeri Sembilan dengan memangku pangkat ACP.
“Selain itu, Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Sarawak.
“Timbalan Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Pematuhan Standard) Kontinjen Selangor Superintendan M. Manimaran pula dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Selangor manakala Pegawai Pemerintah Unit 2 Pasukan Simpanan Persekutuan Johor Bahru Superintenden Zahril Asri Mohd Zain dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Setiu, Terengganu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




