am@hmetro.com.my
Kuching: Suspek kes langgar lari menyebabkan seorang penunggang basikal maut di Jalan Stutong, di sini, Jumaat lalu, tampil menyerah diri kepada polis, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, suspek lelaki berusia 19 tahun hadir menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada jam 12 tengah hari, hari ini.
Menurutnya, polis kemudian menahan suspek mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membantu siasatan berhubung kemalangan maut itu.
“Suspek turut membawa pihak polis ke lokasi kejadian serta ke sebuah bengkel di Batu 4, di sini, tempat sebuah kenderaan jenis Proton Satria yang dipercayai terbabit disimpan.
“Ujian air kencing terhadap suspek juga didapati negatif daripada sebarang unsur dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek akan dituduh di mahkamah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian serta Seksyen 52(2) akta sama kerana gagal melaporkan kemalangan dalam tempoh 24 jam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 pagi, 1 Mei lalu, mangsa yang menunggang basikal maut selepas dipercayai dilanggar sebuah kenderaan sebelum pemandunya melarikan diri dari lokasi kejadian.
Mangsa yang berusia 56 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Difahamkan pada hari kejadian mangsa sempat menghantar mesej terakhir pada jam 5.30 pagi memaklumkan berhubung aktiviti basikal bersama kepada rakan.
Namun mangsa tidak muncul di lokasi menyebabkan rakan bimbang sebelum menemukan lelaki itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di lokasi kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




