6 murid di Kota Tinggi disahkan menghidap tibi

6 murid di Kota Tinggi disahkan menghidap tibi

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi : Enam murid di daerah ini disahkan menghidapi Tuberkulosis atau tibi hasil daripada saringan kontak rapat, yang terdiri daripada empat murid lelaki dan dua murid perempuan.

Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang arahan penutupan sekolah dikeluarkan susulan penularan wabak berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, penularannya dalam keadaan terkawal dan dipantau rapi oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kerajaan negeri mengambil maklum berhubung penularan penyakit tibi yang membabitkan murid sekolah di daerah Kota Tinggi.

“Semua murid terbabit sudah diarahkan menjalani kuarantin serta menerima rawatan sewajarnya dan berada dalam pemantauan rapi KKM mengikut prosedur kesihatan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Tinggi turut turun ke sekolah terbabit bagi mengadakan sesi perjumpaan dan penerangan bersama pihak pengurusan sekolah.

Katanya, sesi itu bertujuan memberi penjelasan mengenai penyakit tibi selain langkah pencegahan yang perlu diambil oleh pihak sekolah, murid dan ibu bapa.

Pada masa sama, Aznan menegaskan semua sekolah perlu sentiasa mematuhi garis panduan dan arahan yang dikeluarkan KKM, termasuk aspek kebersihan, pemantauan kesihatan murid serta tindakan susulan yang disarankan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau berita palsu berkaitan isu itu kerana ia boleh mencetuskan kebimbangan dan panik dalam kalangan masyarakat.

“Sebarang maklumat rasmi hendaklah dirujuk kepada kenyataan KKM atau saluran rasmi Kerajaan Negeri Johor,” katanya.

Aznan berkata, Kerajaan Negeri Johor kekal komited memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga sekolah terus terpelihara dengan kerjasama berterusan KKM dan semua pihak berkaitan.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, satu kluster tibi direkodkan di Kota Tinggi dengan sebanyak 33 kes positif dikesan hasil saringan ke atas 804 kontak rapat bermula 25 Januari lalu hingga semalam.

Dzulkefly dilaporkan berkata, satu kematian dilaporkan dalam kluster berkenaan, namun mengesahkan bukan disebabkan oleh jangkitan tibi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top