Mexico City: Skuad kebangsaan Mexico memulangkan semula jam tangan Rolex bernilai kira-kira AS$1 juta (RM4.2 juta) yang diterima daripada pencipta kandungan terkenal Amerika Syarikat, Stevewilldoit, bagi mengelakkan sebarang pelanggaran Kod Etika Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Pencipta kandungan itu, yang nama sebenarnya Stephen Deleonardis, menghadiahkan jam tangan berkenaan kepada pemain Mexico di kem latihan pasukan sebelum aksi pusingan 32 terbaik menentang Ecuador.
Menerusi video yang dimuat naik di saluran YouTubenya, Deleonardis berkata setiap jam tangan itu bernilai antara AS$30,000 (RM126,000) hingga AS$90,000 (RM378,000), dengan nilai keseluruhannya mencecah AS$1 juta (RM4.2 juta).
Menurutnya, dia menghadiahkan jam tangan berkenaan selepas mempertaruhkan AS$2 juta (RM8.4 juta) untuk kemenangan Mexico ke atas Ecuador, yang akhirnya dimenangi 2-0.
Deleonardis turut mendakwa pertaruhan itu memberinya keuntungan sekitar AS$1 juta (RM4.2 juta), iaitu bersamaan nilai keseluruhan jam tangan yang dihadiahkan kepada pemain Mexico.
Bagaimanapun, Kod Etika FIFA hanya membenarkan pemberian hadiah yang mempunyai nilai simbolik atau kecil dan tidak boleh ditawarkan sebagai usaha mempengaruhi mana-mana individu yang terbabit dalam bola sepak atau mewujudkan konflik kepentingan.
Mana-mana pihak yang melanggar peraturan itu berdepan denda sehingga 10,000 franc Switzerland (RM53,000) serta larangan terbabit dalam sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sehingga dua tahun.
Persatuan Bolasepak Mexico memaklumkan menerusi media sosial bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk memulangkan semula jam tangan berkenaan kepada Deleonardis, sambil menjelaskan hadiah itu diberikan atas inisiatif pencipta kandungan terbabit.
Mexico yang menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2026 masih belum dibolosi dalam empat perlawanan dan bakal berdepan England pada aksi pusingan 16 terbaik di Stadium Azteca.
© New Straits Times Press (M) Bhd




