6 pelajar Tingkatan 5 MRSM disyaki buli junior: Asyraf beri 24 mesyuarat dan singkir pelajar terbabit

6 pelajar Tingkatan 5 MRSM disyaki buli junior: Asyraf beri 24 mesyuarat dan singkir pelajar terbabit

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bahagian Pendidikan Menengah, Majlis Amanah Rakyat (MARA), serta pihak pentadbir Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) diarah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) dalam tempoh 24 jam bagi menyiasat dan menyingkirkan enam pelajar Tingkatan Lima yang disyaki terbabit kes buli di sebuah MRSM di Johor.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan tegas itu perlu diambil segera selaras penguatkuasaan prinsip ‘you touch, you go!’ (anda sentuh, anda keluar!) tanpa kompromi.

Beliau sekali gus menzahirkan perasaan sangat berdukacita, kesal dan kecewa atas insiden terbabit di mana sekumpulan pelajar senior didakwa membuli junior.

“Walau apa juga alasan, perbuatan buli dengan mengambil tindakan sendiri – kononnya untuk mendisiplinkan pelajar-pelajar junior – adalah satu perbuatan yang tidak boleh diterima dan dikompromikan.

“Saya selalu tekankan ‘you touch, you go!’ Amaran ini telah berkali-kali saya berikan kepada semua pelajar. Kalau ada saja perbuatan buli, kalian tiada tempat di MRSM,” katanya dalam satu hantaran video melalui media sosial rasmi beliau, hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, insiden itu terbongkar apabila ibu bapa seorang pelajar membuat perkongsian melalui Threads berikutan anak mereka meminta untuk bertukar keluar dari sebuah MRSM di Johor kerana mendakwa tidak tahan menjadi mangsa buli.

Susulan laporan polis dibuat keluarga mangsa, katanya, enam pelajar Tingkatan Lima disyaki terbabit kini direman dua hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bakri bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, beliau meminta semua pelajar supaya tidak takut untuk tampil melaporkan sebarang salah laku buli, selain memberi amaran keras kepada pentadbir MRSM yang cuba menyembunyikan kes sedemikian.

“Jangan mengambil tindakan keluar daripada MRSM kerana tidak tahan dengan buli. Perbuatan ini (buli) harus kita kekang dan dilaporkan kepada pihak pentadbir MRSM.

“Kalau ada sebarang bentuk perbuatan menyorokkan perbuatan ini, pasti pihak MARA akan mengambil tindakan tegas,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan MARA menetapkan tempoh enam bulan bagi menjalankan kajian, membangunkan modul dan melaksanakan latihan sebelum inisiatif menangani isu buli mental dilaksanakan sepenuhnya di semua institusi pendidikan bawah agensi itu.

Langkah komprehensif itu diambil sebagai komitmen berterusan MARA bagi mengekang sebarang bentuk perlakuan buli, khususnya yang membabitkan tekanan psikologi dan emosi yang sering sukar dikesan berbanding buli fizikal.

Menerusi rangka kerja baharu berkenaan, modul itu akan memfokus pengisian elemen kesedaran sivik, pengurusan emosi, serta pemantapan jati diri pelajar demi melahirkan persekitaran pembelajaran yang selamat, harmoni dan kondusif.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top