KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) memberi sokongan penuh terhadap usaha kerajaan dalam memerangi rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa.
Majlis Setiausaha PH memaklumkan gabungan itu turut menjunjung penuh titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini supaya setiap kes harus disiasat dengan menyeluruh tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
Katanya, PH Sebagai sebuah gabungan politik sejak awal membawa perjuangan reformasi institusi, tatakelola yang baik dan penolakan terhadap rasuah serta penyalahgunaan kuasa.
Ujarnya, pakatan itu juga berpendirian bahawa mana-mana individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa terutama melibatkan kes-kes berprofil tinggi perlu menjalani sepenuhnya tempoh hukuman ditetapkan mahkamah.
“Prinsip kedaulatan undang-undang juga menuntut supaya proses kehakiman yang sedang berjalan pula diberikan ruang untuk diselesaikan secara teratur dan bebas tanpa menimbulkan sebarang persepsi bahawa proses tersebut telah didahului pertimbangan lain,” menurut kenyataan itu.
Menurut Majlis Setiausaha PH, adalah penting buat Malaysia yang berada dalam fasa pemulihan untuk memperkukuh tatakelola dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
Justeru, sebarang keputusan dalam kes-kes berprofil tinggi perlu mengambil kira keyakinan masyarakat terhadap kesungguhan negara melaksanakan agenda tersebut.
“Beberapa kes rasuah berprofil tinggi sebelum ini turut telah memberikan kesan yang besar terhadap nama dan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, negara telah berusaha keras untuk membina semula keyakinan terhadap institusi, tatakelola serta keupayaan Malaysia menangani rasuah dan salah guna kuasa. Momentum pemulihan ini perlu terus dipelihara,” katanya.
Menurut kenyataan itu, PH dibina atas dukungan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang yang meletakkan harapan besar terhadap agenda reformasi serta pembentukan sebuah negara yang bersih, berintegriti dan bertanggungjawab.
“Amanah tersebut menuntut kami untuk terus konsisten menyuarakan pendirian berdasarkan prinsip, walaupun ketika berhadapan dengan situasi yang mencabar dan berdepan tekanan dari pelbagai sudut,” menurut kenyataan itu.
PH turut mengulangi pendirian untuk terus menjunjung Perlembagaan, menghormati institusi negara dan pada masa sama kekal teguh mempertahankan prinsip reformasi, kedaulatan undang-undang serta perjuangan membanteras rasuah.-BERNAMA
