am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) menjadi landasan memperkukuh kestabilan politik negara.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Perdana Menteri berkata, CSA juga akan memastikan kelangsungan urusan pemerintahan serta memberi ruang kepada agenda pembangunan negara.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ini termasuk memastikan pelaksanaan Belanjawan 2027 secara berkesan demi kepentingan rakyat.
“Dalam negara demokrasi, perbezaan pandangan tidak seharusnya menghalang usaha membina masa depan lebih baik.
“Kematangan politik menuntut semua pihak meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik sempit, demi memastikan Malaysia terus aman, stabil dan maju serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
“Semoga persefahaman ini menjadi asas kepada kerjasama konstruktif, memperkukuh keyakinan terhadap proses demokrasi dan membuka ruang bagi memastikan Malaysia yang lebih baik untuk semua,” katanya.
Beliau mengulas tindakan beberapa Ahli Parlimen, termasuk enam ahli Dewan Rakyat daripada BERSATU yang memeterai CSA bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Parlimen, hari ini.
Menerusi CSA, kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan pembangunan kepada wakil rakyat BERSATU terbabit dalam perjanjian itu, pada kadar sama seperti diterima Ahli Parlimen kerajaan.
Namun, jumlah sebenar peruntukan berkenaan belum dapat dipastikan dan dianggarkan antara RM3 juta hingga RM4 juta setahun.
Enam Ahli Parlimen BERSATU itu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Datuk Dr Radzi Jidin (Putrajaya), Datuk Ali Biju (Saratok), Datuk Suhaimi Abdullah (Langkawi), Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai).
Blok kerajaan di Dewan Rakyat kini mempunyai 149 Ahli Parlimen, termasuk Pakatan Harapan (PH) dengan 75 kerusi, Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23) dan Gabungan Rakyat Sabah (tujuh).
Tiga Ahli Parlimen Warisan turut berada dalam blok kerajaan, bersama masing-masing seorang daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Lapan Ahli Parlimen Bebas turut menyokong kerajaan, termasuk enam bekas wakil BERSATU.
Blok pembangkang pula terdiri daripada PAS dengan 43 Ahli Parlimen, BERSATU (19), Parti Wawasan Negara (enam) dan MUDA (seorang).
Empat kerusi kini kosong susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Wong Chen (Subang) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).
Dengan 218 Ahli Parlimen aktif ketika ini, majoriti mudah memerlukan sekurang-kurangnya 110 sokongan, manakala majoriti dua pertiga memerlukan 146.
© New Straits Times Press (M) Bhd




