Air putih Sungai Kim-Kim disebabkan kerja pemasangan kabel

Air putih Sungai Kim-Kim disebabkan kerja pemasangan kabel

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Kerajaan negeri mengesahkan kejadian air Sungai Kim-Kim di Pasir Gudang, dekat sini, berubah kepada berwarna putih adalah disebabkan oleh kerja tanah pada kedalaman kira-kira lima meter bagi tujuan pemasangan kabel.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, hasil siasatan lanjut mendapati, kejadian itu berlaku ketika kerja berkenaan dijalankan kira-kira jam 3 petang, semalam.

Beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah ke lokasi semalam bagi menjalankan pemeriksaan awal susulan dakwaan pencemaran yang tular di media sosial.

“Hasil siasatan awal mendapati, tiada pencemaran dikesan seperti yang didakwa.

“Bagaimanapun, JAS sekali lagi turun ke lokasi hari ini bagi menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian air berwarna putih yang dilaporkan,” katanya pada kenyataan, hari ini.

Ling berkata, beliau memahami kebimbangan masyarakat setempat berhubung kejadian itu, khususnya mengambil kira sejarah pencemaran Sungai Kim Kim sebelum ini.

Katanya, kerajaan negeri memandang serius setiap laporan berkaitan kualiti alam sekitar dan akan memastikan pemantauan serta tindakan sewajarnya dilaksanakan agensi berkaitan.

Sehubungan itu, orang ramai digalakkan menyalurkan aduan segera sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan atau tanda pencemaran alam sekitar bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut diambil.

Aduan boleh disalurkan kepada JAS menerusi portal e-Aduan di https://eaduan.doe.gov.my atau talian hotline 1-800-88-2727.

Terdahulu, media melaporkan, JAS Johor melakukan siasatan dakwaan berlakunya pencemaran di sungai berkenaan susulan aduan diterima agensi berkenaan.

Kejadian berkenaan tular di laman sosial dengan seorang pengguna mendakwa sungai berkenaan berubah warna sejak semalam.

Untuk rekod, tragedi pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim pada 7 Mac 2019 pernah menggemparkan negara apabila lebih 2,000 orang terjejas kesihatan, manakala 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top