Universiti Sains Sukan bukan ancaman

Universiti Sains Sukan bukan ancaman

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penubuhan Universiti Sains Sukan berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem sukan negara secara lebih menyeluruh, khususnya dalam menggabungkan pendidikan, penyelidikan, inovasi dan pembangunan atlet berprestasi tinggi.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, institusi khusus berkenaan mampu memperkukuh kepakaran sains sukan negara selain membuka peluang kepada Malaysia menjadi hab kecemerlangan bidang itu di peringkat serantau.

Menurutnya, cadangan penubuhan universiti berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada fakulti sains sukan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sedia ada, sebaliknya sebagai usaha melengkapi kepakaran dan memperluas peluang pendidikan dalam bidang berkenaan.

“Fakulti sains sukan sedia ada di UPSI, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaya (UM) tidak perlu ditutup. Universiti baharu ini sepatutnya melengkapi dan memperkukuh kepakaran universiti lain, bukannya menggantikannya,” katanya dalam akaun media sosial, Facebook hari ini.

Beliau memberi contoh penubuhan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang tidak menyebabkan program berkaitan seni dan kebudayaan di IPTA lain ditutup, begitu juga penubuhan UPSI yang tidak menjejaskan kewujudan fakulti pendidikan di universiti lain.

Amin berkata, usaha memperkasakan fakulti sains sukan sedia ada tetap penting, namun keperluan pendidikan perlu berkembang seiring peningkatan jumlah atlet dan pelajar yang berminat menceburi bidang sukan.

Katanya, keperluan itu wajar mengambil kira kewujudan 20 sekolah sukan kebangsaan dan negeri, selain jumlah pelajar dalam bidang berkaitan sukan yang dianggarkan melebihi 7,000 orang setahun, termasuk keperluan pendidikan pada peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, penubuhan universiti khusus berkenaan juga membuka ruang untuk memperkenalkan bidang pengajian baharu yang lebih menepati perkembangan industri sukan moden.

Antara bidang berpotensi ialah analitik data sukan, pengurusan fasiliti sukan, teknologi sukan dan kecerdasan buatan (AI), pelancongan sukan, pemulihan dan regenerasi sukan serta ekonomi sukan.

“Universiti ini boleh bekerjasama dengan IPTA lain bagi mengelakkan pertindihan program. Kita perlu melihat bidang yang boleh memberikan nilai tambah kepada ekosistem sukan negara, terutama pengkhususan yang belum ditawarkan di Malaysia ketika ini,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan sukan masa kini memerlukan tenaga profesional yang bukan sahaja memahami aspek latihan dan prestasi atlet, malah mempunyai kepakaran dalam teknologi, penyelidikan, pengurusan serta analisis prestasi.

Dalam pada itu, Amin berkata, universiti berkenaan tidak semestinya dikhususkan kepada atlet negara sahaja, sebaliknya turut boleh memberi peluang kepada pelajar yang berminat dalam bidang sains sukan, kejurulatihan, penyelidikan, teknologi dan pengurusan sukan, tertakluk kepada syarat kemasukan yang ditetapkan.

Katanya, bidang seperti biomekanik, fisiologi senaman, psikologi sukan, nutrisi, analitik prestasi dan kejurulatihan juga berpotensi menjadi antara teras pengajian institusi berkenaan.

Selain bidang sukan, program dalam bidang pendidikan, ekonomi, teknologi, sains dan sains sosial juga boleh dipertimbangkan bagi memenuhi keperluan industri serta pasaran pekerjaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bidang pengajian sebenar masih belum dimuktamadkan dan perlu diteliti berdasarkan keperluan semasa serta hala tuju pembangunan sukan negara.

Justeru, Amin berpandangan cadangan penubuhan Universiti Sains Sukan perlu dilihat sebagai peluang untuk membina sistem pembangunan bakat yang lebih bersepadu, sekali gus memperkukuh hubungan antara pendidikan tinggi, penyelidikan dan prestasi sukan negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top