6 perenang Poland ‘dihalau’ pulang – Utusan Digital

6 perenang Poland ‘dihalau’ pulang – Utusan Digital

TOKYO: Enam perenang Poland terpaksa gigit jari apabila diarahkan pulang setelah tiba di Tokyo bagi menyertai Sukan Olimpik 2020 di Jepun.

Kesemua perenang tersebut, Alicja Tchorz, Bartosz Piszczorowicz, Aleksandra Polanska, Mateusz Chowaniec, Dominika Kossakowska dan Jan Holub merupakan sebahagian 23 skuad Poland ke Olimpik Tokyo.

Ekoran kekeliruan dan isu pendaftaran peserta di Olimpik, timbul desakan agar Presiden Persekutuan Renang Poland (PZP), Pawel Slominski meletakkan jawatan.

Menurut satu kenyatan bersama kesemua atlet di sana, mereka menyifatkan perkara tersebut telah mencemarkan imej dan reputasi skuad kebangsaan.

“Semua orang termasuk penaja berpotensi menjadikan PZP bahan jenaka.

“Ia sekali gus akan memberi kesan kepada perenang yang bakal menyarung seragam putih-merah ini,” tulis kenyataan tersebut.

Tambah mereka, isu tersebut juga telah menjejaskan beberapa acara yang bakal disertai Poland di temasya tersebut yang akan dibuka secara rasmi Jumaat ini.

Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) menetapkan sesebuah negara hanya boleh menghantar 17 wakil bagi menyertai Olimpik kali ini.– AGENSI

Scroll to Top