Scotland buru sejarah ‘sekat’ tarian Samba

Scotland buru sejarah ‘sekat’ tarian Samba

 

MIAMI: Scotland berpeluang mencipta sejarah apabila hanya memerlukan satu lagi keputusan positif untuk melangkah ke pusingan kalah mati Piala Dunia buat kali pertama sejak menyertai kejohanan berprestij itu.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Steve Clarke berdepan tugas sukar apabila dijadual menentang gergasi Amerika Selatan, Brazil dalam aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Miami, esok, yang dijangka menjadi penentu nasib mereka.

Format baharu Piala Dunia yang melibatkan 48 pasukan membuka ruang lebih luas kepada Scotland untuk melepasi peringkat kumpulan, namun kedudukan mereka masih belum terjamin dan kekalahan boleh menyebabkan mereka bergantung kepada keputusan pasukan lain.

Bagi mengelakkan sebarang kemungkinan, Scotland perlu melakar kejutan besar dengan menewaskan Brazil buat kali pertama dalam sejarah pertemuan kedua-dua pasukan.

Kenangan paling manis Scotland di pentas Piala Dunia masih tertumpu kepada kemenangan 3-2 ke atas Belanda pada edisi 1978 menerusi gol ikonik Archie Gemmill, namun kejayaan tersebut gagal membawa mereka ke pusingan seterusnya.

Kali ini, kemenangan ke atas Brazil bukan sahaja akan menjadi antara pencapaian terbesar dalam sejarah bola sepak Scotland, malah menjamin sekurang-kurangnya kedudukan dua terbaik kumpulan.

Selepas mencatat kemenangan ke atas Haiti, Scotland kembali ke bumi nyata apabila tewas 0-1 kepada Maghribi dalam aksi terdahulu.

Pendekatan lebih berhati-hati yang diterapkan Clarke tidak menjadi apabila pasukannya dibolosi seawal minit kedua menerusi jaringan Ismael Saibari.

Meskipun berjaya mengimbangi permainan selepas itu, Scotland gagal memanfaatkan beberapa peluang yang terhidang dan terpaksa berpuas hati tanpa sebarang mata.

Sementara itu, Brazil dilihat semakin menemui rentak sebenar selepas mempamerkan aksi meyakinkan ketika membelasah Haiti dalam perlawanan kedua kumpulan.

Skuad kendalian Carlo Ancelotti itu sebelum ini seri 1-1 dengan Maghribi, namun bangkit dengan persembahan lebih bertenaga apabila meledak tiga gol pada separuh masa pertama menentang Haiti.

Penyerang Matheus Cunha mencuri tumpuan apabila meledak dua gol, manakala Vinicius Junior sekali lagi membuktikan statusnya sebagai antara pemain paling berbahaya di kejohanan tersebut.

Pemain sayap Real Madrid itu meneruskan prestasi cemerlangnya dengan satu lagi jaringan selain beberapa gerakan berbahaya yang mencetus ancaman berterusan kepada lawan.

Brazil kini memburu kedudukan selaku juara kumpulan buat kali ke-12 berturut-turut di Piala Dunia dan dijangka turun dengan misi memburu kemenangan bagi memastikan laluan lebih mudah di peringkat seterusnya. – AGENSI

Scroll to Top