Alor Setar: Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden yang mengorbankan enam sekeluarga dalam nahas di Pinang Tunggal, dekat Sungai Petani, hari ini.
Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah meminta orang ramai memberikan ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan penuh bagi mengetahui punca sebenar kejadian yang dipercayai berlaku pada 3.50 petang tadi, yang melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan lori muatan tanah.
“SUV yang dinaiki tujuh sekeluarga yang melibatkan seorang anggota polis itu sedang menghala ke Sungai Petani untuk ke Merbok bagi menziarahi kubur ahli keluarga lain, manakala lori yang dipandu seorang lelaki warga tempatan yang berusia 49 tahun pula sedang menghala ke Tikam Batu.
“Kemalangan itu menyebabkan enam sekeluarga itu meninggal dunia, manakala seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian muka,” katanya kepada pemberita di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, di sini malam ini.
Beliau berkata, kemalangan yang tular di media sosial itu telah menyebabkan banyak spekulasi yang tidak bertanggungjawab termasuk ada orang awam yang menghantar pesanan WhatAapp secara peribadi kepadanya dan memaklumkan maklumat yang tidak benar.
“Ada orang cakap dekat saya pemandu lori itu mabuk serta menyatakan bangsa pemandu itu. Di sini saya ingin maklumkan bahawa mangsa berbangsa Melayu dan pemandu lori itu juga berbangsa Melayu jadi tindakan itu sangat tidak bertanggungjawab.
“Siasatan awal juga mendapati lori itu dipandu hanya 60 kilometer sejam (km/j), tapi ada juga pihak yang kata kenderaan itu (X50) mungkin bermasalah kerana baharu sahaja dikeluarkan, kereta baharu lagi, jadi kita akan siasat semua aspek termasuk akan menghantar SUV itu ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Adzli berkata. saringan air kencing terhadap pemandu lori itu adalah negatif, bagaimanapun dia mempunyai tujuh rekod saman.
“Walaupun dia memandu dengan had kelajuan 60 km/j, mempunyai lesen memandu yang sah tetapi pemandu itu ditahan dan akan direman esok bagi membantu siasatan kes. Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Dalam kejadian 3.50 petang tadi, enam sekeluarga termasuk seorang bayi meninggal dunia, manakala seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun cedera parah dalam kemalangan di Jalan Pinang Tunggal dekat Sungai Petani.
Mangsa yang maut ialah:
1. Ahmad Syafiq Ahmad Shukri, 29.
2. Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21.
3. Jamaliah Sannusi, 29.
4. Nora Mohd Husin, 55.
5. Iskandar Affan bin Ibrahim, 7.
6. Ahmad Mikail Ahmad Syafiq, 2 bulan.
Mangsa cedera:
1. Aulia Sofea Ahmad Syafiq, 3.
Difahamkan kesemua mangsa dalam perjalanan ke Merbok dari Kepala Batas, Pulau Pinang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




