Jerebu datang lagi. Sudah banyak lokasi di negara kita telah mencatat bacaan IPU tidak sihat. Jerebu bagi kita di Malaysia seolah-olah ‘acara tahunan’ yang saban tahun datang menjelma.
Bukan itu sahaja, negara kita juga pernah mengalami jerebu tahap kritikal yang menyebabkan banyak sekolah terpaksa ditutup.
Perubahan iklim bukan suatu isu yang terpencil lagi kerana ia menjadi bahana kepada seluruh alam jagat ini.
Situasi itu tidak mengecualikan negara kita, kerana turut sama merasa kesannya.
Kini, kita berhadapan dengan situasi keadaan berjerebu yang bukan sedikit menimbulkan rasa rimas dan tidak selesa kepada kita.
Jerebu sebenarnya bukan kejadian baharu kerana gejala cuaca ekstrem seperti itu sering menimpa negara kita dan negara serantau di Asia Tenggara.
Keadaan itu seolah-olah ada pihak yang kurang bertanggungjawab dengan memandangnya sebagai isu remeh sahaja.
Untuk kita menuding jari menyalahkan mana-mana pihak memang mudah, namun ia bukan suatu tindakan yang boleh menyelesaikan fenomena alam itu untuk jangka panjang.
Semua pihak di negara mana sekalipun seharusnya bersama-sama memainkan peranan secara dinamik dalam menangani isu yang tiada noktah lagi sehingga kini.
Sekarang ada baiknya kita menoleh kepada sebab musabah berlaku sesuatu bencana alam dan gejala fenomena cuaca itu.
Memang kita boleh dapat maklumat secara jelas dan terperinci berkenaannya dari perspektif sains, tetapi itu tidak memadai untuk kita menterjemahkan maksud tersirat sesuatu kejadian di bumi ini.
Mari kita terokai apa yang dikatakan melalui ayat al-Quran dan Al-Hadis mengenai musibah atau bencana alam itu.
Allah sentiasa memperingatkan manusia mengenai tanggungjawab menjadi khalifah-Nya di muka bumi dengan nilai kebertanggungjawab yang sebenar.
Antaranya dalam Surah Al-Qasas ayat 77 Allah berfirman yang bermaksud: “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu(kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan kebahagiaanmu daripada(kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) seperti Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah kamu berbuat kerosakan di(muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.”
Teliti sepenuh hati maksud firman Allah ini apakah kita sebagai manusia telah akur dengan amanah Allah itu? Lihat di sekeliling kita pelbagai kerosakan alam sekitar berlaku lantaran tangan-tangan manusia yang hanya melihat kenikmatan dunia dan melupai akan peringatan Allah.
Maka berlaku kejadian tanah runtuh dan banjir misalnya. Dalam hal ini kita sebagai seorang manusia yang menyebabkannya.
Sekarang mari kita hayati satu lagi peringatan Allah kepada kita semua. Allah berfirman dalam Surah ar-Rum ayat 41 yang bermaksud: “Telah nampak kerosakan di darat dan laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”
Demikian amaran Allah kepada manusia perihal buruknya akibat melanggar amanah menjaga alam ini.
Ingat! Ketamadunan dan kecanggihan peralatan manusia masih tidak dapat menyelamatkan kita.
Lantaran kegagalan itu, manusia di muka bumi ini sering kecundang dengan angka korban yang mencapai ratusan ribu nyawa.
Lihat pada fenomena alam seperti jerebu yang tebal, gempa bumi, ribut taufan, kemarau panjang, tsunami, banjir besar, gunung berapi mahupun kejadian tanah runtuh sering berlaku meskipun dunia kini dilengkapi dengan pelbagai alatan sains yang canggih.
Sepatutnya hal ini menginsafkan kita betapa kita perlu kembali ke landasan beragama yang sebenar.
Apabila kita merujuk kepada al-Quran, maka kita akan dapati bahawa Islam sudah lama memperingatkan umat manusia supaya menjaga keseimbangan alam ini dengan sebaik mungkin dan sentiasa mengamalkan kehidupan beragama yang mantap berlandaskan lunas-lunas yang telah ditetapkan.
Ingat bahawa sesuatu bencana atau azab yang menimpa sesuatu kaum menurut al-Quran boleh jadi disebabkan oleh dosa yang dilakukan. Ia juga merupakan satu ujian dan cubaan ke atas manusia.
Dalam Surah Al- A’raf ayat 96 Allah menegaskan kepada manusia: “Jika sekiranya penduduk kota-kota beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka.”
Jelas kebanyakan fenomena bencana alam berpunca dari tindak-tanduk manusia sendiri.
Kita gali lagi apa yang ada dalam al-Quran. Nah, sekarang bersama kita renungi satu lagi peringatan Allah kepada kita.
Dalam Surah Al- A’raf ayat 56 kita ketemu dengan firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, sesudah Allah memperbaikinya.” Apakah kita sentiasa ingat akan peringatan Allah ini dalam melalui liku-liku kehidupan di dunia ini?
Mulai hari ini mari kita menghayati sepenuhnya segala pesanan Allah kepada kita.
Jangan hanya berlaku sesuatu bala bencana maka pada ketika itu kita menyesal tak sudah.
Bencana alam tidak berlaku begitu sahaja, tetapi menghala kepada elemen sebab musabahnya.
Hukum alam dan ujian bencana alam semuanya datang daripada Allah. Namun, apakah yang telah kita ambil pengajaran daripadanya?
Insaf, bahawa segala bencana alam itu tidak berlaku dengan percuma dan berlalu dengan sia-sia, tetapi untuk dijadikan iktibar dan menimbulkan keinsafan di lubuk hati manusia.
Kalau kita masih tak sedar juga akan kebesaran dan kekusaan Allah maka tak tahu apakah menimpa kita pula nanti…?
Segala paparan yang Allah SWT nyatakan dalam al-Quran mengenai umat terdahulu yang dibinasakan-Nya seharusnya kita jadikan iktibar dan pedoman.
Namun, jika kita perhalusi situasi manusia masa kini akan kita dapati kebanyakannya tidak mempedulikan tentang amaran dan peringatan Allah SWT.
Maka timbul pelbagai maksiat dan mungkar di muka bumi ini yang menggambarkan seolah-olah mereka tidak takut kepada azab Allah SWT.
Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah
© New Straits Times Press (M) Bhd
