Ankara: Sekurang-kurangnya 65 peratus rakyat Palestin yang terkorban dalam serangan ketenteraan Israel yang berterusan ke atas Gaza adalah wanita, kanak-kanak dan warga emas, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik pihak berkuasa tempatan Gaza pada Ahad.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Media Kerajaan yang berpangkalan di Gaza mengesahkan bahawa tentera Israel telah membunuh lebih 18,000 kanak-kanak dan 12,400 wanita sejak 7 Oktober 2023, sambil menghapuskan 2,180 seluruh keluarga.
Ia menambah bahawa 5,070 keluarga lain kini terselamat dengan hanya seorang ahli yang tinggal.
Serangan Israel juga telah mengorbankan 1,400 kakitangan perubatan, 212 wartawan, dan 750 pekerja bantuan. Kenyataan itu juga mengatakan bahawa “serangan sistematik telah meruntuhkan sistem penjagaan kesihatan Gaza dan cuba menutup kebenaran.”
Kenyataan itu mengesahkan bahawa fakta di lapangan, bersama dengan keterangan juruterbang Israel dan kebocoran tentera, yang dipetik oleh pertubuhan hak asasi manusia, mengakui dengan sengaja mengebom rumah dan kawasan kejiranan awam.
“Fakta tidak meninggalkan keraguan bahawa menyasarkan orang awam di Gaza adalah dasar sistematik pendudukan Israel dalam rancangannya untuk melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik,” kata kenyataan itu.
Tentera Israel meneruskan serangan ke atas Gaza pada 18 Mac, mematahkan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan pada 19 Januari.
Israel telah membunuh lebih 52,200 rakyat Palestin di enklaf itu sejak Oktober 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap November lalu untuk Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant kerana jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.
Israel juga menghadapi kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa kerana perangnya terhadap kawasan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd