KOTA TINGGI: Seluas 34.8 hektar daripada keseluruhan 51.4 hektar kawasan paya gambut yang terbakar di Jalan Bypass Sebana Cove-Punggai, di sini berjaya dipadamkan setakat pukul 2 petang, hari ini.
Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba II Baharuddin Idris berkata, kawasan itu merupakan sekitar 67.7 peratus daripada keseluruhan kawasan terjejas.
“Sektor A mencatatkan keluasan 35.6 hektar dengan 19 hektar atau 53.4 peratus daripadanya telah dipadamkan manakala bagi Sektor B iaitu seluas 15.8 hektar pula kerja-kerja pemadaman sudah mencapai 100 peratus.
“Operasi ketika ini melibatkan empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu BBP Sebana, Punggai, Penawar dan Sungai Rengit yang diketuai dua pegawai bersama 36 anggota,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Baharuddin berkata, anggota di lokasi mendepani pelbagai cabaran fizikal termasuk tiupan angin kencang, cuaca panas terik, kesukaran laluan masuk serta sumber air yang terhad.
“Faktor bentuk muka bumi tanah gambut yang berupaya menyimpan bara api di bawah permukaan turut menyebabkan kawasan berkenaan berisiko mudah berulang bakar.
“Bagaimanapun, insiden kebakaran yang dikesan sejak Isnin lalu itu tidak melibatkan sebarang kecederaan, kemalangan jiwa mahupun pemindahan penduduk tempatan,” katanya.-UTUSAN

