Kerajaan peruntuk RM1.465 juta bangun prasarana Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI

Kerajaan peruntuk RM1.465 juta bangun prasarana Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI

asmaini@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan memperuntukkan RM1.465 juta bagi pembangunan infrastruktur, kemudahan awam serta pendidikan menerusi Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) 2026.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, peruntukkan itu memberi manfaat kepada penduduk Kampung Kota Baharu, Kampar dan warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim Nawar di Perak.

Katanya, pelaksanaan program itu sejak April lalu turut membuktikan bahawa kerjasama strategik antara agensi kerajaan mampu menterjemahkan hasil yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Pada April lalu, kita hadir membawa pelan tindakan melalui peruntukan sebanyak RM500,000 untuk kampung dan RM100,000 untuk sekolah angkat MADANI kita.

“Tetapi hari ini, pada penghujung bulan Oktober, kita tidak lagi bercakap mengenai janji. Hari ini, kita kembali untuk melihat bukti,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Rasmi Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI JPA 2026 di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Baharu, Gopeng, hari ini.

Menerusi program Kampung Angkat MADANI, peruntukan RM500,000 daripada Kementerian Kewangan dan RM35,000 daripada JPA digunakan untuk melaksanakan lapan projek fizikal.

Ia termasuk menaik taraf Masjid Jamek, dewan orang ramai, klinik kesihatan, balai polis dan astaka SK Kota Baharu, selain pembinaan mercu tanda kampung serta penyediaan papan pintar.

Selain itu, kerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut membolehkan pemasangan 40 unit lampu solar bernilai RM380,000, manakala Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) memperuntukkan RM450,000 bagi pembinaan dewan serba guna baharu yang boleh menempatkan dua gelanggang badminton.

Bagi program Sekolah Angkat MADANI di SMK Malim Nawar pula, sebanyak RM90,000 diperuntukkan untuk menaik taraf makmal komputer, bengkel Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) serta makmal sains, manakala RM10,000 disalurkan bagi program pembangunan pendidikan pelajar dan guru.

Dalam pada itu, selain pembangunan fizikal, pelbagai program kemasyarakatan dan pendidikan lain turut diadakan termasuk Program Ibadah Korban, GP Joran, Sukan Rakyat, Jelajah Kesihatan dan Psikologi, Tuisyen MADANI, gotong-royong serta Karnival Wira Komuniti.

Majlis penutupan turut menyaksikan acara penyampaian Bakul Rahmah kepada 97 keluarga dari sekitar Kampung Kota Baharu, selain sumbangan kepada sekolah dan penghargaan kepada rakan strategik.

Sementara itu, Wan Ahmad Dahlan turut menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan pasukan SK Kota Baharu meraih pingat emas menerusi inovasi Ecowire Roll pada International Innovation and Entrepreneurship Expo 2026, 25 Oktober lalu, serta pencapaian seorang pelajar perempuan SMK Malim Nawar yang diberi peluang mewakili Selangor dalam sukan bola sepak.

Menurutnya, pencapaian itu membuktikan bahawa anak-anak luar bandar mampu menyerlah apabila diberikan peluang, kemudahan dan sokongan yang sewajarnya.

“Diharapkan penduduk dapat menjaga dan memanfaatkan kemudahan yang disediakan kerajaan ini demi kesejahteraan komuniti serta generasi akan datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top