am@hmetro.com.my
Ipoh: Hujan lebat berterusan pada awal pagi hari ini menyebabkan daerah Kinta dan Manjung mengalami banjir kilat menyebabkan sekurang-kurangnya 69 rumah terjejas.
Di daerah Manjung, hujan lebat kira-kira jam 1 pagi disusuli fenomena air pasang menyebabkan sebahagian kawasan di Pulau Pangkor mengalami banjir kilat menyebabkan 15 rumah dinaiki air.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Manjung dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemantauan dibuat di kawasan terjejas antaranya di Kampung Teluk Kechil, Kampung Masjid, Kampung Sungai Pinang Besar dan Taman Pangkor Indah di Teluk Bharu.
Setakat jam 10.30 pagi tadi, keadaan cuaca mendung dan air laut surut dengan terdapat 39 mangsa ditempatkan sementara di masjid dan surau, namun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.
“Bagaimanapun, tiada keperluan untuk PPS dibuka. Seramai 22 mangsa ditempatkan sementara di Masjid Kampung Teluk Raja Bayang, manakala 17 mangsa lagi ditempatkan di surau Al-Amir Kampung Teluk Kechil,” katanya.
Manakala, sebanyak 10 kediaman di Taman Hijau dan 21 kediaman di Taman Sri Mawar dalam kawasan DUN Astaka, Sitiawan dinaiki air sejak jam 12 tengah malam tadi, namun air sudah surut sepenuhnya setakat jam 9.15 pagi tadi.
Dalam pada itu, dua rumah di Kampung Padang Tembak di DUN Pangkor turut dinaiki air, manakala sembilan rumah di Kampung Batu 3 dan Kampung Batu 5 Segari di Manjung terjejas akibat banjir susulan hujan lebat bermula jam 2 pagi.
Sementara itu, banjir kilat turut dilaporkan berlaku di daerah Kinta membabitkan kawasan DUN Tronoh susulan hujan lebat berterusan lebih dua jam yang berlaku sekitar jam 2.35 pagi tadi.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah Kinta memaklumkan banjir berlaku susulan limpahan air dari Sungai Bangkong sekitar jam 1.45 pagi tadi hingga menjejaskan sebanyak 12 rumah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




