Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) kini memperkemas pelan strategik program elit dengan memfokuskan kepada fasa penilaian prestasi dan penyelarasan klasifikasi bagi memastikan persediaan optimum kontinjen negara menjelang Sukan Para Asean 2027 di laman sendiri.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, langkah itu melibatkan kerjasama erat bersama Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi memperincikan aspek catatan masa, kategori acara dan perkhidmatan sokongan sains sukan yang komprehensif.
Beliau berkata, program persediaan fasa pertama yang dilaksanakan sepanjang enam bulan lalu telah menunjukkan indikator positif, khususnya melibatkan lonjakan carta ranking atlet di peringkat global.
“Dari segi pingat, kemenangan di peringkat dunia, Asia dan Komanwel menunjukkan peningkatan yang ketara.
“Jadi, kami menyasarkan KPI keseluruhan sebanyak 70 peratus atlet kita menaiki podium pada 2026,” katanya selepas Mesyuarat Program Penyediaan Atlet ke arah Sukan Para Asean 2027 bersama Presiden Persatuan Sukan Kebangsaan Para di MSN, Bukit Jalil, hari ini.
Jefri berkata, penilaian berkala amat penting bagi memastikan pelaksanaan program elit kekal berada di landasan yang tepat sebelum memasuki fasa kedua dan ketiga program bermula tahun depan.
Sementara itu, beliau berkata, MSN sedia memanfaatkan sepenuhnya penganjuran Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2026 di Selangor pada Ogos ini sebagai serampang dua mata untuk melahirkan bakat baharu dari seluruh negara.
Menurut Jefri, mekanisme saringan bagi bakat muda berpotensi akan digerakkan secara sistematik untuk membolehkan mereka diserap masuk ke dalam ekosistem latihan kebangsaan.
“Pengurus para telah pun diminta untuk mengenal pasti atlet semasa Para SUKMA nanti berdasarkan kriteria yang dipersetujui bersama pihak MPM supaya kami dapat memilih atlet terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, Jefri berkata barisan atlet yang terpilih akan melalui fasa transisi penting menerusi kem latihan intensif serta kem pemilihan yang dijadualkan pada awal Oktober dan November ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




