sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun menegaskan Thailand dijangka turun dengan barisan terkuat pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas kegagalan mereka pada Sukan SEA tahun lalu.
Kekalahan itu sekali gus menjadikan juara tradisi itu ancaman utama kepada misi emas Malaysia.
Ahmad Jais berkata, skuad negara semakin menunjukkan peningkatan dalam persiapan, namun prestasi keseluruhan masih belum berada pada tahap diharapkan dan perlu dipertingkatkan sebelum aksi sebenar bermula.
“Thailand saya lihat akan turun dengan barisan terkuat kerana mereka pasti mahu bangkit selepas kegagalan di Sukan SEA.
“Jadi, kita perlu bersedia dengan sebaik mungkin untuk menghadapi mereka,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia tidak gentar untuk menyahut cabaran, malah percaya skuad negara mampu mencipta kejutan dan memperbaiki pencapaian terbaik di pentas Sukan Asia.
“Kita sedia sahut cabaran, tetapi kita tidak mahu memberikan tekanan tinggi kepada pemain.
“Sekarang yang paling penting adalah prestasi kerana tanpa prestasi yang baik, sukar untuk mana-mana pasukan mencapai kejayaan,” katanya.
Ahmad Jais berkata, sasaran minimum skuad negara pada mulanya adalah meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas, manakala kejayaan membawa pulang dua emas seperti sasaran yang ditetapkan menjadi bonus buat pasukan.
“Kalau kita dapat sekurang-kurangnya satu pingat emas, itu sasaran pasukan negara. Mudah-mudahan kita dapat dua pingat emas, itu adalah bonus,” katanya.
Terdahulu, sasaran dua pingat emas yang diletakkan terhadap skuad sepak takraw negara pada Sukan Asia Aichi-Nagoya menjadi cabaran kepada Ketua Kontinjen (CDM) negara, Datuk Mohd Sumali Reduan untuk direalisasikan.
Sumali yang juga Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sebelum ini menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan skuad negara untuk mencapai sasaran berkenaan.
Justeru, Ahmad Jais mahu anak buahnya memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi dan tidak terlalu memikirkan tekanan mengejar pingat, sambil memastikan Malaysia bersedia menghadapi kebangkitan Thailand yang dijangka kembali dengan kekuatan terbaik di Aichi-Nagoya.
© New Straits Times Press (M) Bhd


